Berita Berita
2,504 guru kanan hilang kelayakan elaun RM120, bayaran dihentikan mulai bulan ini - KPM
KUALA LUMPUR 3 Nov - Seramai 2,504 Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) sekolah menengah tidak lagi layak menerima Elaun Tanggungjawab Pengurusan Sekolah (ETPS) sebanyak RM120 sebulan susulan penggredan semula sekolah yang berkuat kuasa sejak 11 Januari lalu.
Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, pembayaran elaun kepada kumpulan guru terbabit akan dihentikan mulai November ini, manakala penyelarasan bayaran balik ETPS akan dilaksanakan secara berhemah bagi mengelakkan mereka terbeban.
Pada masa sama, seramai 1,356 GKMP yang berkhidmat di sekolah menengah yang dinaik taraf kepada Gred A pula akan menerima bayaran tunggakan ETPS pada tahun depan.
Menurut KPM, perubahan penggredan sekolah itu memberi kesan kepada keseluruhan 3,860 penyandang jawatan GKMP di seluruh negara.
"Kementerian memahami kebimbangan GKMP sekolah menengah berhubung ETPS susulan penggredan semula sekolah yang berkuat kuasa 11 Januari lalu.
"Penggredan semula sekolah dilaksanakan berdasarkan tiga kriteria iaitu enrolmen murid, bilangan penghuni asrama dan peringkat pendidikan.
"Berdasarkan penggredan ini, sekolah menengah kini terdiri daripada Gred A dan Gred B. Sebanyak 339 sekolah menengah naik kepada Gred A daripada Gred B, manakala 626 sekolah menengah turun kepada Gred A daripada Gred B," katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan peraturan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang berkuat kuasa, hanya GKMP yang bertugas di sekolah menengah Gred A layak menerima ETPS sebanyak RM120 sebulan.
Susulan perubahan itu, KPM mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pihak kesatuan guru antara Mac hingga Julai lalu bagi membincangkan implikasi penggredan semula terhadap kelayakan elaun berkenaan.
Dalam sesi tersebut, kesatuan mencadangkan supaya rayuan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membolehkan GKMP di sekolah menengah Gred B turut menerima ETPS.
"Berdasarkan cadangan itu, KPM mengemukakan surat rayuan pada 13 Ogos lalu. Bagaimanapun menerusi surat bertarikh 23 September lalu, JPA memaklumkan rayuan berkenaan tidak dapat dipertimbangkan," katanya.
Sehubungan itu, KPM akan meneruskan pelaksanaan pemberhentian bayaran ETPS kepada 2,504 GKMP yang tidak lagi memenuhi syarat kelayakan, selain menguruskan penyelarasan bayaran balik dengan mengambil kira kebajikan guru terlibat.
Bagi 1,356 GKMP yang kini layak menerima elaun selepas sekolah mereka dinaik taraf kepada Gred A, kementerian akan memastikan tunggakan bayaran diselesaikan pada 2027.
KPM turut menegaskan bahawa kementerian menghargai peranan dan sumbangan GKMP dalam menyelia pengurusan mata pelajaran serta meningkatkan pencapaian akademik sekolah.
"KPM juga komited memelihara kebajikan guru dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak, termasuk kesatuan dan agensi berkaitan, demi kesejahteraan warga pendidik," katanya.
Berita berkaitan
November 3, 2026, 10:20 pm
‘Terima kasih Mahsuri, tanpa biasiswa mungkin perlu bayar RM60,000’ – Penerima tajaan ChefMuda 2026
November 3, 2026, 8:12 pm
Tiada pemain JDT disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya menentang China, Yemen
November 3, 2026, 8:06 pm
Lebih RM300,000 disalurkan bantu kebajikan, pendidikan masyarakat India di Bagan Datuk
November 3, 2026, 8:03 pm
JAIS cari pemilik premis simpanan 6.5 tan ayam disembelih secara elektrik di Puchong
November 3, 2026, 7:59 pm
Projek jalan luar bandar Sabah, Sarawak tidak dibatalkan, hanya ditangguhkan
November 3, 2026, 7:42 pm
'Kalau rakyat tak bagi Rohingya sewa, insya-ALLAH dapat jaga keharmonian' - Exco Kelantan
November 3, 2026, 7:36 pm
