TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Bapa dipercayai sanggup tinggal anak tepi jalan hingga cedera kejar kereta di Nilai

By
|
Kongsi
image

NILAI 10 NOVEMBER – Seorang kanak-kanak cedera di kaki dan tangan selepas dipercayai ditinggalkan bapanya di tepi jalan berhampiran Tol Nilai, sebelum berlari mengejar kenderaan yang dinaiki lelaki itu.

Kejadian yang berlaku dalam sekelip mata itu tular di media sosial selepas dikongsi oleh pengguna Threads, Dayamzah, yang mendakwa menyaksikan sendiri peristiwa tersebut. Perkongsiannya disertakan rakaman video yang menunjukkan suasana cemas di lokasi.

Menurut Dayamzah, insiden itu berlaku begitu pantas sehingga beliau sendiri tergamam dan sukar menerima apa yang terpampang di depan mata.

"Kejadian berlaku depan mata. Sepantas kilat. Masih terkejut. Bagaimana seorang bapa boleh bertindak sekejam ini," tulisnya dalam hantaran itu.

Beliau memaklumkan kanak-kanak terbabit mengalami luka pada kaki dan tangan akibat mengejar kereta bapanya yang dipercayai meninggalkan lokasi tanpa menoleh ke belakang. "Kesian budak ni luka kaki tangan dek mengejar kereta bapanya," katanya.

Dalam kemas kini terbaru, Dayamzah memaklumkan seorang penunggang motosikal yang berada di tempat kejadian turut membantu kanak-kanak itu sehingga pasukan penyelamat tiba.

"Update daripada akk rider, ambulans dah datang ambil budak ni tadi," katanya.

Lebih mengundang tanda tanya, lelaki yang dipercayai bapa kepada kanak-kanak itu dikatakan kembali ke lokasi dengan berjalan kaki, bukannya menggunakan kenderaan yang dipandu sebelum itu.

"Ayah dia patah balik jalan kaki. Tak tahu apa motif tak patah balik naik kereta," katanya.

Sehingga kini, belum jelas punca sebenar kejadian, hubungan sebenar lelaki berkenaan dengan kanak-kanak tersebut, serta keadaan terkini mangsa selepas dibawa ke hospital. Tiada kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa dikeluarkan setakat ini.

Rakaman video berkenaan mencetuskan reaksi pelbagai pihak di media sosial, dengan ramai warganet menggesa siasatan dijalankan segera bagi memastikan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak itu terjamin.

+ - reset