TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

'Siap letak kon halang kereta', ulat tiket kembali di kawasan parkir MRT Maluri?

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 10 NOVEMBER – Kawasan parkir Stesen MRT Maluri sekali lagi menjadi tumpuan selepas sekumpulan individu dilaporkan muncul semula untuk mengutip bayaran daripada pemandu, hanya beberapa minggu selepas isu serupa tercetus.

Rakaman yang dimuat naik pengguna Threads, Yw0215, memaparkan kon keselamatan diletakkan menghalang kenderaan sebelum wang diminta daripada pemandu yang mahu memarkir kereta. Berbeza daripada kejadian lalu, kumpulan terbabit kali ini turut menunjukkan lesen dan resit ketika menerima bayaran, seolah-olah tidak gentar diperiksa.

Menerusi hantarannya, pengadu itu meluahkan rasa kecewa kerana masalah yang sama berulang meskipun aduan telah berkali-kali dikemukakan.

“Ini bukan kali pertama perkara ini berlaku. Berapa banyak lagi aduan perlu dibuat sebelum ada pihak yang benar-benar mengambil tindakan? Mereka sudah berada di sini bulan lalu dan kini kembali lagi. Baru sekejap sahaja,” katanya.

Menurutnya, individu yang mengutip wang itu turut mencabar beliau agar menyemak sendiri resit berkenaan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sikap itu dianggapnya tidak munasabah.

“Kalau semuanya sah, kenapa orang ramai pula yang perlu bersusah payah bertanya kepada DBKL untuk memastikan caj parkir itu dibenarkan atau tidak?” soalnya.

Pengadu itu turut mempersoalkan mengapa kegiatan tersebut berterusan, sedangkan ParkIt Malaysia sebelum ini sudah menegaskan bahawa kutipan di lokasi berkenaan tidak sah.

Dalam responsnya di ruangan komen, ParkIt Malaysia menzahirkan rasa kesal yang sama. Syarikat itu memaklumkan insiden tersebut sudah berlarutan selama empat hari berturut-turut dan menafikan pihak yang mengutip bayaran itu ada kaitan dengannya.

“Kami pun sama geram, dah empat hari berturut-turut. Terima kasih atas rakaman ini. Yang kutip tu bukan ParkIt,” menurut kenyataan itu.

ParkIt Malaysia memberitahu, pihak polis telah turun ke lokasi pada hari sebelumnya, manakala DBKL turut mengesahkan lesen yang ditunjukkan kumpulan terbabit bukan untuk tujuan kutipan parkir.

“Sekarang kita perlukan DBKL bertindak,” katanya.

Syarikat itu turut menyeru orang ramai menyalurkan aduan menerusi portal rasmi DBKL di adukl.dbkl.gov.my. Menurutnya, semakin banyak aduan diterima, semakin cepat pihak berkuasa dijangka bertindak.

Setakat ini, belum ada kenyataan lanjut daripada DBKL berhubung langkah penguatkuasaan terhadap kumpulan berkenaan di kawasan parkir tersebut.

+ - reset