TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Makan sampai licin, lelaki pasrah jumpa lintah bulan dalam nasi lemak

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 5 NOVEMBER – Selera seorang lelaki yang sedang menjamah nasi lemak ayam berempah mati serta-merta apabila dia menyedari seekor makhluk lembik, menyerupai siput tanpa cengkerang, terselit di celah hidangan itu. 

Namun, dalam keadaan perut yang lapar dan poket yang cukup terbatas, dia akhirnya memilih untuk pasrah.

Kejadian itu dikongsikan pengguna Threads, akenmustafa, yang menceritakan pengalaman tersebut menerusi satu hantaran yang tular dan mengundang pelbagai reaksi warganet.

Dalam hantaran itu, lelaki berkenaan meluahkan rasa terkejut apabila makhluk asing tiba-tiba muncul ketika dia sedang asyik menikmati hidangan berkenaan.

“Wehhh, aku tengah syok menikmati nasi lemak ayam berempah, tiba-tiba benda ini muncul. Dari mana datangnya? Adakah ia sejenis siput tiada cengkerang atau seekor pacat atau lintah?” katanya.

Walaupun terkejut, lelaki itu mengakui dia tidak mempunyai banyak pilihan kerana hidangan tersebut merupakan satu-satunya sumber makanan untuk mengalas perut sepanjang hari.

“Sesungguhnya aku redha untuk berdamai dengan alam kerana makanan ini sahaja yang aku ada untuk kekal kenyang sepanjang hari,” katanya.

Menurutnya lagi, untuk mendapatkan sebungkus nasi lemak ayam goreng berempah berharga RM8 itu, dia perlu menjual sekurang-kurangnya empat hingga lima bekas nasi tomato berharga RM6.50 setiap satu.

Luahan jujur yang turut disertakan simbol wajah sedih itu mencuit hati sebahagian warganet, namun pada masa sama mengundang simpati ramai pihak yang memahami kesukaran hidupnya.

Hantaran tersebut turut mencetuskan perbincangan hangat apabila sebilangan warganet mengenal pasti makhluk berkenaan sebagai lintah bulan, sekali gus menyuarakan kebimbangan terhadap risiko kesihatan.

Seorang pengguna, irqimmhmd, berkata haiwan itu dianggap kotor kerana lazimnya ditemui di kawasan tidak bersih.

“Lintah bulan. Kotor ini, bro. Biasanya dia duduk dalam tangki septik,” katanya.

Pengguna lain, rashidkarami, memberi amaran bahawa makhluk itu berpotensi membawa parasit dan membahayakan nyawa.

“Dia pembawa parasit, banyak toksin. Orang pernah meninggal dunia kerana makan benda ini,” katanya.

Sementara itu, zulhilmy.amry menasihatkan lelaki berkenaan supaya lebih berhati-hati meskipun makhluk tersebut tidak dimakan secara langsung.

“Hati-hati, bang. Walaupun tidak dimakan secara langsung, takut parasit dia merebak,” katanya.

Insiden seumpama itu sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memeriksa makanan sebelum menjamah, khususnya hidangan yang dibeli daripada premis atau penjaja luar.

Pengguna yang mengalami situasi serupa disaran memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tindakan pemeriksaan lanjut terhadap tahap kebersihan premis terbabit.

Sehingga kini, tiada maklumat lanjut mengenai lokasi kedai yang menjual nasi lemak berkenaan atau sama ada lelaki itu mengalami sebarang masalah kesihatan selepas kejadian tersebut.

+ - reset