TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Peniaga dakwa hampir ditikam susulan isu persaingan jualan tauhu crispy

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 5 NOVEMBER – Seorang peniaga mendakwa berdepan situasi tegang apabila hampir ditikam menggunakan pisau oleh seorang peniaga lain, dipercayai susulan perselisihan faham berkaitan aktiviti perniagaan di tepi jalan.

Dakwaan itu turut melibatkan kejadian menampar yang dikatakan berlaku ketika pertelingkahan berkenaan.

Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Threads, cicimariposaa, yang mendakwa insiden berkenaan berpunca daripada kegiatan menjual tauhu crispy.

Menerusi perkongsian tersebut, individu berkenaan mendakwa perselisihan faham berlaku selepas peniaga lain dikatakan tidak berpuas hati berhubung isu saman yang dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bagaimanapun, peniaga terbabit menjelaskan jualan mereka sudah merosot sejak dua hingga tiga minggu lalu dan menafikan perniagaan yang diusahakan menjadi punca masalah kepada pihak lain.

"Kami hampir kena tikam dengan pisau kedai depan sebab jual tauhu crispy. Dia siap lempang lagi.

"Ya Allah, padahal dah dua hingga tiga minggu jualan kami kurang. Namapun meniaga tepi jalan, kalau kena saman DBKL itu adatlah," menurut perkongsian berkenaan.

Individu itu turut mendakwa gerai mereka tidak menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan sejak kebelakangan ini, malah sebahagian makanan yang disediakan dikatakan tidak habis dijual.

"Kedai kami ini tidak laku pun. Hari-hari dua bekas besar tidak habis," katanya.

Perkongsian itu menarik perhatian pengguna media sosial yang memberikan pelbagai reaksi terhadap dakwaan berkenaan, khususnya berhubung isu persaingan dalam kalangan peniaga kecil.

Bagaimanapun, kesahihan kejadian, termasuk dakwaan cubaan menikam dan serangan fizikal, belum dapat dipastikan berdasarkan perkongsian tersebut.

Tiada maklumat lanjut mengenai laporan polis atau tindakan pihak berkuasa berhubung insiden berkenaan setakat ini.

 

+ - reset