TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Hiburan

Syida Melvin desak bekas suami keluar rumah lepas 8 bulan merempat bersama anak-anak

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 10 NOVEMBER – Selepas lapan bulan memilih untuk membisu, pempengaruh media sosial, Syida Melvin, akhirnya tampil membuka cerita tentang tekanan yang dilaluinya sepanjang proses perceraian dan pertikaian hak kediaman bersama bekas suaminya, Syafiq Azim.

Menerusi siaran langsung di media sosial, Syida menegaskan beliau meninggalkan rumah berkenaan sejak April lalu bukan untuk mencetuskan drama atau mencari perhatian, sebaliknya demi menyelamatkan kesihatan mental dan emosi dirinya serta anak-anak.

“Dah lapan bulan aku sabar, simpan semua rasa sebab nak jaga hati banyak pihak. Tapi bila anak-anak jadi mangsa, tempat tinggal dirampas dan kunci rumah ditukar sesuka hati, sampai bila aku nak diam?” katanya.

Beliau turut menepis dakwaan sesetengah pihak yang menganggap tindakannya sebagai strategi promosi. “Ini bukan gimik nak launch produk baru macam yang dituduh. Aku cuma nak tuntut hak untuk anak-anak ada tempat berteduh yang selesa,” tegasnya.

Syida mendakwa tidak lagi mampu menanggung tekanan emosi yang dialami, selain mengakui sering dimaki dan dihina sebagai miskin oleh pihak bekas suaminya.

Lebih memilukan, ibu kepada anak-anak itu mendakwa terpaksa berpindah-randah dan menumpang di rumah keluarga di kampung serta kediaman kakaknya selama empat bulan. Akibatnya, keperluan anak-anak tidak dapat diurus dengan sempurna dan kehadiran mereka ke sekolah turut terjejas.

Ketegangan antara kedua-dua pihak dikatakan memuncak apabila tempoh iddah Syida tamat. Beliau kini mahu kembali menetap di rumah itu bersama anak-anak, namun mendakwa bekas suaminya berkeras enggan berpindah.

Malah, Syida mendakwa lelaki itu bertindak memanggil tukang kunci untuk menukar kesemua kunci rumah sebaik sahaja mengetahui hasratnya untuk pulang.

Walaupun beberapa langkah undang-undang telah diambil, termasuk penghantaran surat tuntutan rasmi menerusi peguam, Syida mendakwa tiada perubahan daripada pihak bekas suaminya. Keadaan itu, katanya, akhirnya mendorong beliau bersuara secara terbuka demi memperjuangkan hak anak-anak untuk mendapat tempat tinggal yang selesa.

+ - reset