TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Tular video remaja 'roro' bagai dirasuk pukul warga tempatan di Selayang

By
|
Kongsi
image

SELAYANG 23 NOVEMBER - Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan insiden kekasaran membabitkan seorang remaja di kawasan perumahan di Selayang, di sini, tular di media sosial hari ini sehingga mengundang perhatian ramai pihak.

Berdasarkan klip video berdurasi 28 saat yang dimuat naik di laman Facebook menerusi akaun 'Abe O-Abe', seorang individu yang mengenakan jubah berjalur kelabu dilihat bertindak agresif dengan melepaskan beberapa tumbukan bertubi-tubi ke arah mangsa di ruang legar berhampiran lif bangunan berkenaan.

Kejadian yang berlaku di Sri Murni Fasa 3, Selayang itu dipercayai tercetus pada pukul 8.34 malam semalam, seperti yang tertera pada cap masa paparan skrin rakaman tersebut.

Meskipun seorang lelaki dewasa berjubah putih yang berada di lokasi cuba campur tangan bagi meleraikan ketegangan, suspek dilihat masih gagal mengawal kemarahan dan terus mengasari mangsa sambil disaksikan beberapa individu lain termasuk kanak-kanak di koridor tersebut.

Menerusi hantaran sama, pemilik akaun terbabit mendakwa suspek merupakan warga asing etnik Rohingya manakala individu yang diserang adalah remaja tempatan, selain turut berkongsi sekeping gambar memaparkan kecederaan mangsa yang mengalami pendarahan pada bahagian hidung.

"Tindakan suspek yang memukul mangsa secara bertubi-tubi sehingga berdarah adalah melampau dan tidak boleh diterima. 

Pihak polis dimohon supaya segera mengesan individu terbabit bagi memastikan tindakan undang-undang yang sewajarnya dapat diambil," menurut kenyataan dalam hantaran itu.

Insiden berkenaan turut mengundang reaksi daripada orang ramai yang menonton rakaman tersebut, dengan rata-ratanya mengecam perbuatan ganas itu selain menggesa pihak berkuasa mempertingkatkan pemantauan keselamatan di kawasan perumahan terbabit demi kesejahteraan penduduk.

+ - reset