Berita Politik
PN: Tiada perkembangan terkini mengenai peruntukan Ahli Parlimen pembangkang

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Gabungan Perikatan Nasional (PN) menjelaskan bahawa tiada sebarang perkembangan baharu mengenai permohonan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang buat masa ini.
Ketua PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata kerajaan masih belum mengambil sebarang langkah atau menjemput mereka ke meja rundingan.
“Nak kemas kini macam mana kalau tidak ada apa-apa yang mereka (kerajaan) buat atau jemput kita untuk berbincang,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini berhubung peruntukan kepada pihak pembangkang oleh kerajaan perpaduan.
Tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Fadillah Yusof, memaklumkan bahawa rundingan mengenai peruntukan ahli Parlimen pembangkang secara individu masih terbuka. Namun, rundingan secara kumpulan besar melalui PN telah ditutup.
Sementara itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) turut mengulas bahawa kerajaan hanya menyalurkan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen kerajaan baru-baru ini.
Beliau merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, yang mengesahkan bahawa peruntukan khas Perdana Menteri diberikan kepada ahli Parlimen kerajaan, bukan kepada pembangkang.
Menurut laporan, ahli Parlimen kerajaan menerima peruntukan khas sebanyak RM1.7 juta bagi kawasan di Semenanjung dan RM2.2 juta bagi Sabah serta Sarawak sejak 2023.
Dalam pada itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) turut meluahkan rasa kecewa kerana masih tidak mendapat peruntukan untuk kawasannya. Beliau menggesa kerajaan supaya memberi kata putus dan berhenti berteka-teki mengenai perkara tersebut.
Menurutnya, beliau sudah lima kali mengadakan rundingan dengan Fadillah tetapi belum ada sebarang perkembangan positif. - Media Telus
Berita berkaitan
May 2, 2025, 9:56 am
BERSATU sedia bekerjasama dengan UMNO demi perjuangan asal - Hamzah
April 30, 2025, 3:58 pm
MCA perlu nilai diri sendiri, bukan salahkan BN - Puad
April 29, 2025, 12:29 pm
MCA digesa keluar Kerajaan Perpaduan, pertimbang sertai Bersatu
April 26, 2025, 10:49 pm
Kemenangan BN di Ayer Kuning tanda sokongan rakyat kepada Kerajaan MADANI
April 23, 2025, 4:00 pm
PRK Ayer Kuning: BERSIH kecam kerajaan salah guna jentera, dana awam
April 21, 2025, 2:38 pm
Tiada rombakan kabinet susulan pemilihan PKR – Anwar
April 20, 2025, 10:38 am
Afdlin Shauki menang, Nik Nazmi hilang Ketua Cabang PKR Setiawangsa
April 18, 2025, 5:32 pm
PRK Ayer Kuning: DAP usaha rapatkan hubungan dengan pengundi Melayu
April 16, 2025, 11:50 am
UMNO sanggah tuduhan PN, tegaskan kerjasama Dengan DAP demi titah Agong
April 16, 2025, 9:45 am