TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

MCA perlu nilai diri sendiri, bukan salahkan BN - Puad

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 April - MCA tidak seharusnya menyalahkan Barisan Nasional (BN) atas kedudukannya yang didakwa semakin dipinggirkan dalam gabungan tersebut, sebaliknya perlu melakukan penilaian dalaman terhadap penurunan sokongan masyarakat Cina terhadap parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, dakwaan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon bahawa ahli MCA kini berasa ragu dan kecewa, sememangnya wajar, namun MCA perlu melihat punca sebenar kelemahan sokongan mereka.

“Kenapa MCA hanya menang dua kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)? Ini bukan salah BN kerana ketika itu BN bertanding secara solo. Kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) hanya berlaku selepas PRU15,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Puad turut menyelar kenyataan Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhou Li yang mendakwa kerjasama BN-PH menjejaskan masa depan UMNO.

“UMNO terjejas teruk ketika PRU14 apabila BN kalah, tetapi UMNO tidak menyalahkan BN. Sebaliknya, UMNO bangkit semula,” katanya sambil merujuk kepada prestasi UMNO dalam tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) di Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning sebagai bukti kebangkitan parti.

MCA Perlu Buktikan Keberkesanan Di Negeri-Negeri

Puad menasihati MCA agar memanfaatkan peranan dan jawatan yang dimiliki di negeri-negeri seperti Johor, Melaka, Perak dan Pahang untuk membuktikan prestasi kepada rakyat.

“MCA perlu membuktikan kecemerlangan untuk menarik semula sokongan rakyat, bukan merajuk seperti menarik diri dalam PRN 2023 di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa UMNO akan terus mempertahankan BN sebagai gabungan yang inklusif dan sederhana.

“BN mesti membuktikan ia mendengar nasihat Raja-Raja Melayu, komited dan kekal sederhana. Itulah hala tuju jelas BN. Kerjasama BN-PH pula adalah demi kelangsungan rakyat dan kestabilan negara,” tambahnya.

Latar Belakang Ketegangan

Pada Isnin, sebuah portal melaporkan ucapan Chong Sin Woon dalam Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian MCA Selayang, di mana beliau melahirkan rasa kecewa terhadap ketidakpastian hala tuju BN sejak dua tahun lalu selepas PRU15.

Chong mencadangkan agar semua mesyuarat bahagian MCA pada bulan Jun ini memberi keutamaan kepada perbincangan masa depan parti, dan pandangan akar umbi akan dibawa ke peringkat kepimpinan pusat. - Media Telus

+ - reset