Berita Politik
PRK Ayer Kuning: Jangan guna modal fitnah nak menang pilihan raya - Mat Sabu

TAPAH 16 April– Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan semua pihak agar tidak menggunakan kempen berunsur fitnah sebagai strategi politik sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Beliau menegaskan, kritikan terhadap kerajaan adalah perkara biasa dalam politik, namun ia perlu disampaikan secara beretika tanpa menyebarkan maklumat palsu semata-mata mahu meraih undi.
"Kalau nak kritik kerajaan, silakan. Saya pun pernah jadi pembangkang dulu. Kita kritik, tapi beri juga cadangan. Jangan jadikan fitnah sebagai modal politik,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Jentera Pilihan Raya Amanah PRK N.48 Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat, semalam.
Mohamad Sabu turut mengulas tindakan penyokong Perikatan Nasional (PN) yang membawa sepanduk sindiran dan karikatur dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke semasa hari penamaan calon minggu lalu.
Selain itu, beliau menolak dakwaan kononnya Islam di negara ini sedang terancam, menyifatkannya sebagai retorik lama yang sudah berulang kali dijelaskan kerajaan.
"Pembangkang nampaknya ketandusan modal politik bila isu ini terus dimainkan. Jangan takutkan rakyat dengan cerita tak berasas,” ujarnya.
Untuk rekod, dalam PRK kali ini, Amanah diberi peranan membantu kempen calon Barisan Nasional (BN), Dr. Mohamad Yusri Bakir di lima Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuk Tanjung Keramat, Ayer Kuning dan Sungai Kroh.
Mohamad Sabu optimis jentera Amanah mampu bekerja keras bagi memastikan kerusi DUN Ayer Kuning kekal milik BN.
PRK DUN Ayer Kuning dijadual berlangsung 26 April ini dengan pertandingan tiga penjuru melibatkan Dr. Mohamad Yusri (BN), Abd. Muhaimin Malek (PN) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).
Pilihan raya kecil itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.
Berita berkaitan
July 31, 2025, 9:24 pm
Pelantikan Pengerusi MPN Pulau Pinang isyarat KEADILAN mantapkan strategi hadapi PRU16
July 30, 2025, 1:39 pm
Pas nafi spekulasi pertukaran jawatan presiden, Abdul Hadi kekal jawatan tertinggi parti
July 30, 2025, 9:32 am
'DAP patut minta maaf, jangan salahkan rakyat tuntut janji' - MCA
July 29, 2025, 6:47 pm
BN–PH ‘dikunci’ hadapi PRN Sabah – Zahid
July 27, 2025, 1:20 pm
Himpunan 'Turun Anwar' gagal, pembangkang main gimik politik lapuk - AMK Klang
July 18, 2025, 10:40 am
Amanah dalam kepimpinan bukan medan mencari pengaruh – Abdul Hadi
July 14, 2025, 12:29 pm