TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

BERSATU sedia bekerjasama dengan UMNO demi perjuangan asal - Hamzah

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 2 Mei - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyatakan keterbukaannya untuk menjalin kerjasama dengan UMNO berdasarkan persamaan asas ideologi antara kedua-dua parti.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerjasama itu berpotensi berlaku demi mencapai matlamat perjuangan yang sama.

“Dari sudut agenda, UMNO ditubuhkan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Hari ini, BERSATU juga berpegang kepada ideologi yang serupa,” katanya dalam satu podcast yang dihoskan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim dan disiarkan di YouTube semalam.

Menurut Hamzah, keterbukaan terhadap kerjasama bukanlah menunjukkan kelemahan parti, sebaliknya menunjukkan kesediaan BERSATU untuk berganding bahu demi agenda yang lebih besar.

“Adakah mungkin suatu hari nanti kerjasama boleh terjalin? Ia bukan bermaksud BERSATU tidak kuat, tetapi kami bersedia bekerjasama demi tujuan asal perjuangan,” ujarnya.

Dalam podcast yang sama, Hamzah turut mendedahkan bahawa beberapa bekas pemimpin MIC dan MCA telah mendaftar sebagai ahli BERSATU, mencerminkan sokongan yang semakin meluas termasuk daripada golongan bukan Bumiputera.

Katanya, meskipun BERSATU dan UMNO pernah berbeza haluan, terutama dari segi keutamaan kepemimpinan, namun terdapat peningkatan minat daripada bekas ahli Barisan Nasional (BN) untuk menyertai BERSATU.

“Kita dapat lihat kecenderungan dalam kalangan bukan Bumiputera untuk menyertai BERSATU. Ramai bekas ahli BN telah mengemukakan rayuan ke arah itu,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, ketika ditanya sebab utama pemimpin terbabit meninggalkan BN, Hamzah berkata beliau tidak mengetahui alasan sebenar. Namun begitu, beliau menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan yang dianggotai BERSATU sedang berusaha menjadi suara kepada seluruh rakyat Malaysia.

Hamzah turut menekankan bahawa sayap bersekutu dalam BERSATU kini mempunyai kedudukan yang seiring dengan pimpinan utama parti.

“Pemimpin mereka kini duduk sebaris dengan Naib Presiden parti. Dalam mesyuarat, mereka terlibat sepenuhnya. Kita sangat inklusif dan memberikan ruang kepada bukan Melayu untuk merasakan bahawa mereka bukan sekadar sekutu, tetapi sebahagian daripada parti,” katanya.

Tambahnya, BERSATU juga sedang berusaha memperluaskan penyertaan ahli bersekutu melalui pelbagai pendekatan dan maklum balas orang ramai.

“Kalau kita kembangkan dengan memberi penerangan lebih luas, minat orang ramai akan meningkat. Kita semua boleh bersama dalam satu parti,” katanya.

+ - reset