TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

MCA digesa keluar Kerajaan Perpaduan, pertimbang sertai Bersatu

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 29 April - MCA digesa untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan Barisan Nasional (BN), selain mempertimbangkan langkah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai usaha memulakan semula perjuangan politik parti itu.

Gesaan tersebut disuarakan oleh Ketua Pemuda Sayap Bersekutu Bersatu Johor, Eugene Lim, sebagai reaksi terhadap ucapan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, yang menggesa parti tersebut agar menentukan halatuju sendiri sekiranya BN terus gagal membuat keputusan yang jelas tentang masa depan gabungan berkenaan.

Eugene berpandangan, MCA bakal berdepan cabaran besar sekiranya memilih untuk bertanding secara bersendirian dalam landskap politik semasa, terutamanya selepas lebih satu dekad dilabel sebagai "YESMAN" oleh ramai pengundi Cina.

"Jalan untuk berdikari adalah panjang dan penuh cabaran, mungkin mengambil masa 10 tahun atau lebih. MCA perlu bersedia menghadapi kekurangan sumber dan membina semula akar umbi.

"Saya menyeru MCA untuk mempertimbangkan langkah ini demi masa depan politik mereka. Bersatu menawarkan platform dan peluang kepada semua kaum yang mahu berbakti,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Selain itu, Eugene turut mencadangkan agar MCA mempertimbangkan untuk menubuhkan parti baharu sekiranya ingin bergerak secara bebas, dengan penjenamaan yang lebih segar dan inklusif.

"Penekanan harus diberikan kepada pembangunan ekonomi negara, reformasi pendidikan serta mengamalkan semak dan imbang yang rasional untuk menarik sokongan generasi muda," ujarnya.

Beliau menambah, walaupun risiko untuk memulakan semula perjuangan politik adalah tinggi, ia lebih baik berbanding terus kekal dalam keadaan tidak menentu tanpa sebarang kerusi untuk ditandingi, yang menurutnya menyamai status sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan.

Pada Isnin, sebuah portal melaporkan bahawa Chong, ketika berucap pada pembukaan Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian MCA Selayang 2025, berkata MCA telah memberi BN lebih dua tahun untuk melaksanakan penyusunan semula selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Namun, ketidakpastian berterusan dalam gabungan itu menyebabkan ahli-ahli MCA mula berasa ragu-ragu dan kecewa.

Chong turut mencadangkan agar mesyuarat bahagian MCA di seluruh negara yang dijadualkan berlangsung pada Jun ini memberi keutamaan kepada perbincangan mengenai masa depan parti dan mengumpul pandangan akar umbi untuk dibentangkan kepada kepimpinan pusat.

+ - reset