Berita Berita
Akmal Saleh tegas bantah dakwaan pemilihan PKR terpengaruh budaya UMNO

SHAH ALAM 18 April - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membidas kenyataan yang mengaitkan budaya parti UMNO dengan proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), sambil menegaskan bahawa isu rasuah bukan berpunca daripada parti, tetapi sikap individu itu sendiri.
Dalam satu kenyataan di Facebook pada Jumaat, beliau menyelar sikap sesetengah pihak yang menurutnya cuba berlagak suci dengan menuduh pihak lain sambil mengabaikan kelemahan dalam parti sendiri. Jelas beliau, adalah tidak adil untuk menuding jari kepada parti lawan sedangkan isu integriti berpunca daripada individu yang gagal mengawal tingkah laku mereka.
“Bila diri sendiri yang penuh tahi, tetapi acah-acah baik dan salahkan parti orang lain. Rasuah ini bukan kira parti, ia bergantung kepada individu,” tegasnya.
Dr Akmal turut menyeru agar semua pihak, khususnya yang sering membuat tuduhan terhadap parti lain, agar terlebih dahulu mencerminkan diri sendiri. Katanya, budaya menuding jari seharusnya dihentikan dan fokus perlu diberikan kepada usaha membersihkan parti masing-masing daripada anasir tidak sihat.
Kenyataan tegas beliau hadir susulan kontroversi yang tercetus apabila bekas Setiausaha PKR Cabang Batu, Yuslaini Azmi memberi amaran kepada PKR agar tidak mengimport budaya UMNO ke dalam parti itu. Amaran tersebut dibuat ekoran penularan sebuah video yang didakwa merakam seorang anggota Srikandi PKR Wilayah memberi wang kepada pengundi sebagai usaha meraih undi menjelang pemilihan parti pada 19 April.
Video yang tular itu, dipercayai dirakam secara rahsia, memaparkan individu berkenaan memberi wang sambil meminta pengundi menyokong pasukan tertentu, termasuk dirinya sendiri. Malah, wanita itu dilihat berjanji memberikan 'duit raya' sebanyak RM100 sebelum pengundian, dan tambahan RM100 semasa hari pemilihan berlangsung.
Isu ini menimbulkan reaksi pelbagai pihak dan membuka semula perdebatan mengenai ketelusan dalam proses pemilihan parti politik di Malaysia. Sehingga kini, tiada kenyataan lanjut daripada pihak PKR mengenai siasatan atau tindakan susulan terhadap individu dalam video tersebut. - Media Telus
Berita berkaitan
May 9, 2025, 10:51 pm
Azam Baki dilantik semula Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh setahun
May 9, 2025, 5:54 pm
Polis tahan pelatih gimnasium disyaki ugut wanita mahu simbah asid
May 9, 2025, 3:36 pm
Polis buru suspek sindiket curi kabel digelar 'Kecik'
May 9, 2025, 3:26 pm
Dua beranak nyaris lemas selepas kereta terjunam ke kolam kumbahan
May 9, 2025, 3:19 pm
Kadar pengangguran turun kepada 3.1% pada Mac 2025, pasaran buruh terus stabil
May 9, 2025, 3:15 pm
Lelaki maut kemalangan motosikal lepas hantar isteri ke tempat kerja
May 9, 2025, 1:24 pm