Berita Berita
'Kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang bukan perkara ringan' - Anwar

BANGKOK 18 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kesilapan dalam memaparkan ilustrasi bendera bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana bendera adalah simbol penting kepada mana-mana negara.
Beliau turut menasihatkan semua pihak agar lebih berhati-hati ketika menyiarkan sebarang paparan berkaitan bendera, termasuk Jalur Gemilang, bagi mengelakkan kekeliruan atau isu yang boleh menyinggung sensitiviti rakyat.
"Untuk mana-mana negara pun, soal bendera itu simbol yang sangat penting.
"Jadi saya nasihatkan supaya kita berhati-hati, tapi tentulah bagi ruang Sin Chew Daily bagi penjelasan atas kesilapan dan memohon maaf.
"Tetapi ini bukan soal ringan, biarlah proses undang-undang (dijalankan)," katanya pada sidang media hari ini selepas menamatkan lawatan kerja beliau ke sini atas jemputan rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas insiden paparan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka hadapan akhbar berbahasa Cina tempatan, Sin Chew Daily, Selasa lalu.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak agar tidak bertindak secara berlebihan dalam isu berkenaan dan menyerahkan perkara itu kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.
"Saya juga beritahu supaya jangan nampak kita nak berlebih-lebihan hanya semata-mata kerana tuntutan, dia kena ikut proses undang-undang," katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa akhbar berkenaan memohon maaf atas kesalahan itu, menjelaskan bahawa bulan sabit tidak kelihatan dalam ilustrasi berkenaan disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Semalam, Sin Chew Daily turut memaklumkan dalam satu kenyataan bahawa dua pengarang kanannya, iaitu Ketua Pengarang, Chan Aun Kuang dan Timbalan Ketua Penyunting, Tsai Shwu San digantung tugas berkuat kuasa serta-merta susulan insiden terbabit.
Berita berkaitan
May 9, 2025, 5:54 pm
Polis tahan pelatih gimnasium disyaki ugut wanita mahu simbah asid
May 9, 2025, 3:36 pm
Polis buru suspek sindiket curi kabel digelar 'Kecik'
May 9, 2025, 3:26 pm
Dua beranak nyaris lemas selepas kereta terjunam ke kolam kumbahan
May 9, 2025, 3:19 pm
Kadar pengangguran turun kepada 3.1% pada Mac 2025, pasaran buruh terus stabil
May 9, 2025, 3:15 pm
Lelaki maut kemalangan motosikal lepas hantar isteri ke tempat kerja
May 9, 2025, 1:24 pm
Pindah pekerja asing merentasi sektor hanya libatkan sektor formal - Steven Sim
May 9, 2025, 1:05 pm