Berita Berita
Fadillah Yusof kongsi detik cemas gempa bumi ketika di Istanbul

KUALA LUMPUR 24 April - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkongsi detik mencemaskan ketika berdepan dengan kejadian gempa bumi berkekuatan 6.2 magnitud sewaktu berada di Lapangan Terbang Istanbul, Turkiye, pada Rabu lalu.
Menurut beliau, ketika kejadian berlaku, beliau dan rombongannya sedang bersiap untuk berlepas ke London bagi meneruskan lawatan kerja rasmi ke United Kingdom selepas menyelesaikan lawatan tiga hari di Turkiye.
"Sebagai langkah berjaga-jaga, saya dan rombongan telah diarahkan keluar dari bangunan Terminal Orang Kenamaan Penting (VIP) sebaik sahaja gegaran pertama yang agak kuat dirasai. Selepas kira-kira 15 minit, kami dibenarkan masuk semula ke dalam bangunan.
"Namun, tidak lama kemudian, berlaku gegaran kedua meskipun tidak sekuat yang pertama, dan kami diminta keluar sekali lagi untuk tempoh kira-kira 10 minit sebelum keadaan kembali selamat," jelasnya dalam satu hantaran di Facebook.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan melibatkan ahli rombongannya dan semuanya selamat tiba di London pada jam 4 petang waktu tempatan.
"Alhamdulillah, saya dan rombongan selamat tiba di London dari Istanbul selepas mengharungi pengalaman mencemaskan itu. Terima kasih kepada semua yang menghubungi dan mendoakan keselamatan kami," katanya.
Timbalan Perdana Menteri kini mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak mengenai Masa Depan Keselamatan Tenaga yang berlangsung dari 24 hingga 25 April di London. Sidang itu dianjurkan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dengan kerjasama kerajaan United Kingdom.
Terdahulu, gempa bumi berkekuatan 6.2 magnitud dilaporkan melanda kawasan berhampiran bandar raya Istanbul, menyebabkan lebih 260 orang cedera. Menurut Perbadanan Penyiaran British (BBC), beberapa siri gegaran susulan turut dirasai di sekitar kawasan tersebut. - Media Telus
Berita berkaitan
May 9, 2025, 10:51 pm
Azam Baki dilantik semula Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh setahun
May 9, 2025, 5:54 pm
Polis tahan pelatih gimnasium disyaki ugut wanita mahu simbah asid
May 9, 2025, 3:36 pm
Polis buru suspek sindiket curi kabel digelar 'Kecik'
May 9, 2025, 3:26 pm
Dua beranak nyaris lemas selepas kereta terjunam ke kolam kumbahan
May 9, 2025, 3:19 pm
Kadar pengangguran turun kepada 3.1% pada Mac 2025, pasaran buruh terus stabil
May 9, 2025, 3:15 pm
Lelaki maut kemalangan motosikal lepas hantar isteri ke tempat kerja
May 9, 2025, 1:24 pm