Berita Berita
PM kecam serangan di Kashmir, gesa siasatan dan keadilan antarabangsa

KUALA LUMPUR 24 - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengecam sekeras-kerasnya serangan kejam yang berlaku di Pahalgam, Kashmir, dan menggesa masyarakat antarabangsa supaya menyokong usaha mengesan serta membawa pelaku ke muka pengadilan.
Menurut Anwar, tindakan tidak berperikemanusiaan yang menyasarkan orang awam jelas menunjukkan kekejaman yang dirancang dan langsung tidak mencerminkan nilai sebuah masyarakat bertamadun.
“Laporan yang menyatakan mangsa diasingkan secara sengaja sebelum dibunuh mendedahkan kekejaman yang terancang dengan tiada rasa keperimanusiaan. Keganasan sebegini tidak mempunyai tempat dalam mana-mana masyarakat bertamadun,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di media sosial rasmi beliau hari ini.
Dalam tragedi yang berlaku di kawasan tumpuan pelancong di Pahalgam, seramai 26 warga India dan seorang rakyat Nepal maut, menjadikannya serangan paling dahsyat terhadap orang awam di wilayah itu sejak tahun 2000.
Anwar turut menyampaikan ucapan takziah bagi pihak seluruh rakyat Malaysia kepada keluarga mangsa, serta mendoakan agar mereka yang cedera kembali pulih dengan segera.
“Dalam saat-saat tragis seperti ini, aspek kebijaksanaan dan kesederhanaan amat penting. Tindakan keganasan yang boleh meretakkan perpaduan tidak boleh dibenarkan sama sekali,” tambahnya.
Beliau menegaskan, masyarakat antarabangsa perlu menunjukkan komitmen terhadap keamanan, keadilan dan maruah insan, serta memastikan tragedi seperti itu tidak berulang.
Kashmir yang ditadbir India telah menjadi kawasan konflik berpanjangan sejak 1989, apabila kumpulan pemisah melancarkan pemberontakan bersenjata bagi menuntut kemerdekaan atau penyatuan dengan Pakistan. - Media Telus
Berita berkaitan
May 9, 2025, 10:51 pm
Azam Baki dilantik semula Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh setahun
May 9, 2025, 5:54 pm
Polis tahan pelatih gimnasium disyaki ugut wanita mahu simbah asid
May 9, 2025, 3:36 pm
Polis buru suspek sindiket curi kabel digelar 'Kecik'
May 9, 2025, 3:26 pm
Dua beranak nyaris lemas selepas kereta terjunam ke kolam kumbahan
May 9, 2025, 3:19 pm
Kadar pengangguran turun kepada 3.1% pada Mac 2025, pasaran buruh terus stabil
May 9, 2025, 3:15 pm
Lelaki maut kemalangan motosikal lepas hantar isteri ke tempat kerja
May 9, 2025, 1:24 pm