TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Johor umum cuti peristiwa 28 April sempena kejayaan JDT mara ke final Piala Malaysia

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 24 April - Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan Isnin, 28 April 2025 sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat negeri itu sebagai penghargaan terhadap kejayaan pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2024.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam satu kenyataan malam ini.“Syukur Alhamdulillah. Tahniah pasukan JDT kerana berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2024 menentang Sri Pahang pada Sabtu ini, 26 April 2025,” katanya.

Onn Hafiz menjelaskan keputusan ini dibuat menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, yang juga penaung utama kelab JDT.

“Menjunjung setinggi-tinggi kasih Tunku Mahkota Ismail atas visi, perancangan dan usaha luar biasa dalam menjadikan JDT sebuah kelab bola sepak berprestij, bukan sahaja di Malaysia, bahkan kini disegani di rantau Asia,” katanya lagi.

Pasukan JDT sebelum ini telah menjuarai Piala Malaysia sebanyak empat kali – pada tahun 2017, 2019, 2022 dan 2023 – dan kini sedang memburu kejuaraan kelima.

Orang ramai turut diajak untuk hadir memeriahkan sambutan khas “Chapter 2: The 11” di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad, 27 April jam 8 malam, sehari sebelum cuti peristiwa, sebagai tanda sokongan kepada pasukan kesayangan rakyat Johor itu.

“Mari kita hadir beramai-ramai, kibarkan bendera biru merah, dan raikan pasukan kebanggaan kita, Johor Darul Ta’zim,” seru Onn Hafiz.

Perlawanan akhir antara JDT dan Sri Pahang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu, 26 April 2025. - Media Telus

+ - reset