Berita Berita
'Saya sendiri kena tipu' - Suami Heliza rasa bersalah perkenal skim pelaburan, nekad bantu mangsa dapat keadilan

KUALA LUMPUR 5 Mei - Suami kepada selebriti Heliza Hashim, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman tampil menafikan penglibatannya sebagai pengendali dalam skim penipuan pelaburan yang dikaitkan dengan sebuah syarikat, sambil menegaskan dirinya juga merupakan antara mangsa dalam kes berkenaan.
Mahadi menjelaskan, peranan beliau hanyalah sebagai wakil memperkenalkan peluang pelaburan berdasarkan maklumat serta jaminan yang diberikan oleh pihak syarikat terlibat dan turut mendedahkan beliau sendiri pernah melabur lebih RM20.7 juta dalam dua entiti berkenaan antara tahun 2021 hingga 2023.
“Urusan pelaburan termasuk pembayaran dan penyerahan dokumen dilakukan secara langsung antara pelabur dan syarikat. Saya tidak pernah memegang wang pelabur atau terlibat dalam urusan kewangan mereka.
“Saya bukanlah pengasas dan bukan pemilik syarikat, saya hanyalah perantara jambatan yang menyambungkan pelabur kepada syarikat yang saya sendiri percaya pada waktu itu,” katanya ketika sidang akhbar di Pejabat Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) di sini hari ini.
Tambah Mahadi, pelaburan tersebut dibuat berdasarkan keyakinan terhadap struktur dan dokumentasi yang kelihatan sah dan meyakinkan ketika itu.
“Kami diberi taklimat oleh pihak syarikat, lengkap dengan surat perjanjian, pengesahan penasihat syariah dan semua dokumen yang nampak teratur. Kalau tidak, saya sendiri tidak akan berani melabur sebanyak itu,” jelasnya lagi.
Mahadi berkata, beliau kini menanggung beban rasa bersalah kerana telah memperkenalkan skim tersebut kepada ramai individu termasuk rakan dan kenalan rapat yang turut menjadi mangsa.
“Saya rasa sangat bersalah. Ramai kenal saya dan percaya kepada saya. Saya pula percaya kepada syarikat itu tapi akhirnya saya pun terkena.
“Saya jaga nama saya selama ini. Hari ini saya dikecam, dihukum di media sosial. Tapi saya tidak akan lari. Saya akan terus beri kerjasama dan bantu pelabur dapatkan keadilan,” ujarnya.
Tambahnya, beliau telah membuat laporan polis dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Berita berkaitan
May 5, 2025, 7:46 pm
12 Kenderaan terlibat kemalangan, 10 cedera ringan
May 5, 2025, 7:12 pm
MetMalaysia keluarkan amaran cuaca buruk di 11 negeri dan dua Wilayah Persekutuan
May 5, 2025, 6:48 pm
Lelaki didakwa pukul isteri hamil dengan getah paip hingga cedera
May 5, 2025, 5:50 pm
Kes 1MDB: Pakar forensik dakwa tidak dapat sahkan tandatangan Najib
May 5, 2025, 3:18 pm
Dua anggota polis direman seminggu disyaki terima rasuah tutup kes judi, dadah
May 5, 2025, 2:16 pm
Dua beradik Orang Asli lemas ditemukan, hanyut 25 kilometer
May 5, 2025, 1:56 pm
Toyota Hilux kenderaan paling banyak dicuri di Malaysia tahun 2024
May 5, 2025, 1:07 pm