TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes 1MDB: Pakar forensik dakwa tidak dapat sahkan tandatangan Najib

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 5 Mei - Perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menyaksikan seorang pakar tulisan tangan dipanggil sebagai saksi pembelaan bagi membantu menyokong dakwaan berkaitan ketulenan tandatangannya dalam beberapa dokumen utama.

Saksi pembelaan ke-26, Tay Eue Kam, merupakan pakar dari PHA Handwriting Analysis Sdn Bhd yang menjalankan analisis perbandingan antara tujuh dokumen berkaitan 1MDB yang dipertikaikan dengan 31 spesimen tandatangan Najib bagi menentukan ketulenannya.

Tujuh dokumen itu termasuk tiga Minit Mesyuarat 1MDB, surat daripada Menteri Kewangan kepada Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, serta surat kelulusan dan sokongan bagi kemudahan pinjaman berjangka yang diatur oleh Deutsche Bank.

Dalam keterangannya di mahkamah, Eue Kam memaklumkan hasil analisis mendapati terdapat beberapa persamaan dan perbezaan pada tandatangan yang dikatakan milik Najib dalam dokumen-dokumen terbabit.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tidak dapat mengesahkan ketulenan tandatangan itu kerana hanya menerima salinan dokumen daripada firma guaman Tetuan Shafee & Co, yang mewakili Najib, untuk tujuan analisa.

"Apabila berurusan dengan dokumen yang disalin semua, kita tidak boleh menolak kemungkinan berlakunya keadaan tandatangan disalin dan ditampal, jadi perlu dibandingkan dengan salinan asal.

Semua dokumen yang diterima adalah salinan dan pemeriksaan boleh dijalankan ke atas dokumen yang berkualiti, bagaimanapun terdapat kesukaran dalam mengenal pasti beberapa tulisan tangan yang kritikal bagi dokumen salinan yang tidak berkualiti," katanya memetik laporan Berita Harian.

Saksi itu turut menyatakan bahawa dokumen yang disalin semula berpotensi direka bentuk.

Pihak pembelaan sebelum ini turut membangkitkan dakwaan bahawa terdapat perbezaan pada tandatangan Najib dalam beberapa dokumen 1MDB, sekali gus mencetuskan keraguan terhadap ketulenan dokumen berkenaan — termasuk dokumen berkaitan pinjaman berjumlah AS$975 juta oleh 1MDB dengan Deutsche Bank Singapore.

Najib sendiri sebelum ini, semasa membela diri, mendakwa tandatangan dan tulisan tangannya telah dipalsukan, termasuk dalam kes berasingan membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Keterangan Eue Kam itu dikemukakan dalam prosiding bela diri Najib atas empat tuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB, serta 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

+ - reset