TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Datin Seri Pamela hilang ketika menuju ke pejabat SPRM mungkin dilarikan individu menyamar polis

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 5 Mei - Datin Seri Pamela Ling Yueh, yang dilaporkan hilang sewaktu dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 April lalu, dipercayai telah diculik oleh individu yang menyamar sebagai anggota polis.

Perkara itu didedahkan oleh peguamnya, N Sivananthan, yang merujuk kepada laporan polis dibuat oleh pemandu e-hailing yang membawa Pamela pada hari kejadian.

Menurutnya, kejadian berlaku berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya, tidak jauh dari bangunan SPRM.

“Berdasarkan laporan polis yang dibuat pemandu e-hailing itu, kenderaannya dipintas ketika mereka hampir tiba di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

“Ketika melalui Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya yang terletak bersebelahan dengan bangunan SPRM, tiga kenderaan iaitu dua daripadanya berwarna biru gelap dan putih menghentikan keretanya.

“Seorang lelaki memakai vest polis dan seorang wanita berpakaian seragam polis kemudian meminta Pamela mengikut mereka,” katanya.

Tambah Sivananthan, identiti pemandu turut diambil apabila MyKad miliknya dipegang oleh individu terbabit sebelum Pamela dibawa pergi.

Pemandu tersebut kemudiannya tampil membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7, Putrajaya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, ketika diminta mengulas, enggan memberikan maklumat lanjut namun mengesahkan siasatan masih dijalankan.

Pamela sebelum ini dilaporkan hilang antara jam 1.30 hingga 2.10 petang, ketika dalam perjalanan untuk memberi keterangan kepada SPRM.

Menurut kenyataan rasmi agensi itu, beliau dijadualkan hadir pada tarikh berkenaan, namun tidak muncul seperti yang dirancang.

Peguamnya turut membuat laporan polis pada hari yang sama.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan SPRM, agensi itu menegaskan bahawa tugas untuk mengesan keberadaan Pamela kini diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis.

Orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh.

Sementara itu, peguam keluarga Pamela, Sangeet Kaur Deo, menyuarakan kebimbangan bahawa kehilangan wanita itu mungkin berpunca daripada penglibatannya dalam siasatan berprofil tinggi.

“Seorang wanita yang terbabit dalam siasatan sensitif berkaitan pengubahan wang haram, hilang dalam keadaan yang sangat mencurigakan, ini bukan fakta biasa.

“Jika Pamela sememangnya memberikan maklumat dalam siasatan SPRM, adalah wajar dia mungkin memiliki bahan atau maklumat sensitif yang menyebabkannya terdedah kepada bahaya.

“Persoalannya sama ada SPRM mengiktiraf potensi risiko ini dan adakah ia memberi amaran secepat mungkin berhubung kemungkinan itu kepada polis supaya siasatan boleh disegerakan,” katanya.

Setakat ini, keberadaan Pamela masih belum diketahui dan pihak berkuasa sedang giat meneruskan siasatan.

+ - reset