TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki didakwa pukul isteri hamil dengan getah paip hingga cedera

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 5 Mei - Seorang lelaki berdepan pertuduhan mencederakan isterinya yang sedang hamil dalam satu kejadian keganasan rumah tangga di sebuah pangsapuri di Bandar Sri Permaisuri, bulan lalu.

Tertuduh, Daniel Kenneth Abdullah, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dakwaan menendang kaki kiri isterinya yang berusia 24 tahun serta memukul badan wanita itu menggunakan getah paip.

Kejadian itu didakwa berlaku kira-kira jam 9 malam, 30 April lalu di kediaman mereka, dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, manakala Seksyen 326A pula memperuntukkan hukuman dua kali ganda tempoh maksimum, denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir memaklumkan mahkamah bahawa tiada tawaran jaminan diberikan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin serta atas kebimbangan terhadap keselamatan mangsa yang masih tinggal bersama tertuduh.

Daniel yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan diberikan dengan alasan menyesal dan ingin menjaga isterinya yang hamil serta dua anak mereka yang masing-masing berumur empat bulan dan setahun.

“Saya menyesal dengan perbuatan saya dan saya berjanji akan menjaga isteri dan anak-anak saya,” katanya di hadapan mahkamah.

Bagaimanapun, Hakim Zulqarnain Hassan menolak permohonan jaminan dan menetapkan 9 Jun depan untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen. 

+ - reset