TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tiga ahli baharu JKMR diharap perkukuh usaha perangi rasuah – PM

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 5 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap pelantikan tiga ahli baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) akan mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan mempertingkat integriti dan tadbir urus.

Menurut beliau, pelantikan itu sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam sistem pentadbiran negara. JKMR memainkan peranan penting dalam menasihati Perdana Menteri mengenai isu berkaitan rasuah serta meneliti Laporan Tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jawatankuasa itu juga perlu menyemak ulasan oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berkenaan perjalanan fungsi SPRM di bawah Akta SPRM 2009.

Tiga individu yang dilantik sebagai ahli baharu JKMR ialah Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr Awang Sariyan dan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah. Pelantikan mereka berkuat kuasa pada 25 April lalu untuk tempoh tiga tahun.

Penyampaian surat pelantikan telah disempurnakan oleh Perdana Menteri di Bangunan Parlimen dan disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki. Dalam pada itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah, dilantik semula sebagai Pengerusi JKMR.

Ahli sedia ada iaitu Mohd Shafizan Kepli (Batang Lupar), Young Syefura Othman (Bentong) dan Lo Su Fui (Tawau) akan terus berkhidmat sehingga 14 September 2026. - Media Telus

+ - reset