Berita Berita
Siasatan kes asid Faisal Halim masih berjalan walaupun diklasifikasi NFA

KUALA LUMPUR 8 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa siasatan berhubung serangan asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim, masih diteruskan walaupun kes tersebut sebelum ini diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata klasifikasi NFA bukan bermakna siasatan ditutup, sebaliknya ia adalah prosedur biasa apabila tiada bukti kukuh mengaitkan suspek yang ditahan.
“Sekiranya tangkapan tidak membantu siasatan, kes akan diklasifikasi sebagai NFA sehingga wujud maklumat atau petunjuk baharu. Kertas siasatan masih boleh dirujuk semula pada bila-bila masa,” katanya pada sidang media, Khamis.
Beliau menjelaskan, tiga suspek yang pernah ditahan telah dibebaskan selepas siasatan termasuk analisis forensik telefon tidak menunjukkan sebarang kaitan dengan serangan tersebut.
“Suspek sebenar dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu, manakala rakaman CCTV dan lakaran wajah yang diperoleh setakat ini belum membantu mengenal pasti pelaku,” jelasnya.
Tambah beliau, sebarang perkembangan akan dimaklumkan secara langsung kepada peguam Faisal.
Sebelum ini, firma guaman Tetuan Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co yang mewakili Faisal mendesak agar siasatan diteruskan, memandangkan kes itu melibatkan insiden serius terhadap seorang atlet negara.
Faisal, atau lebih dikenali sebagai "Mickey", diserang dengan simbahan asid pada 5 Mei 2024 ketika bersama isteri dan anaknya di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara. Suspek menghampiri mereka dan mengucapkan “good luck” sebelum menyimbah cecair dipercayai asid ke arah Faisal.
Akibat serangan itu, Faisal mengalami kelecuran tahap empat di bahagian leher, bahu, tangan dan dada, dan menjalani beberapa pembedahan termasuk pemindahan kulit. - Media Telus
Berita berkaitan
May 9, 2025, 5:54 pm
Polis tahan pelatih gimnasium disyaki ugut wanita mahu simbah asid
May 9, 2025, 3:36 pm
Polis buru suspek sindiket curi kabel digelar 'Kecik'
May 9, 2025, 3:26 pm
Dua beranak nyaris lemas selepas kereta terjunam ke kolam kumbahan
May 9, 2025, 3:19 pm
Kadar pengangguran turun kepada 3.1% pada Mac 2025, pasaran buruh terus stabil
May 9, 2025, 3:15 pm
Lelaki maut kemalangan motosikal lepas hantar isteri ke tempat kerja
May 9, 2025, 1:24 pm
Pindah pekerja asing merentasi sektor hanya libatkan sektor formal - Steven Sim
May 9, 2025, 1:05 pm