TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MPAJ keluarkan notis kepada pemilik anjing gagal lapor lesen

By
|
Kongsi
image

AMPANG JAYA 9 Mei 2025 – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah mengeluarkan enam notis kepada pemilik anjing yang gagal melesenkan haiwan peliharaan mereka dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan di kawasan Jalan Indah 25 hingga 35, Taman Cheras Indah pada Selasa lalu.

Operasi yang bermula sekitar jam 2.30 petang itu dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan MPAJ sebagai sebahagian daripada langkah tegas pihak berkuasa tempatan dalam memastikan pematuhan terhadap Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (MPAJ) 2007.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, pihak MPAJ menegaskan bahawa setiap pemilik anjing wajib mendapatkan lesen sah bagi memastikan aspek keselamatan dan kebersihan awam sentiasa terjaga dalam kawasan pentadbiran majlis. Mereka yang gagal berbuat demikian akan dikenakan tindakan undang-undang tanpa kompromi.

Dalam usaha mempertingkatkan pematuhan, MPAJ menggesa semua pemilik anjing yang belum melesenkan haiwan mereka agar hadir segera ke Menara MPAJ bagi urusan pendaftaran. Caj pelesenan dikenakan bergantung kepada status haiwan, iaitu RM30 bagi anjing yang telah dimandulkan dan RM50 bagi yang belum dimandulkan.

MPAJ turut memaklumkan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara berkala dari semasa ke semasa dan menasihati orang ramai agar tidak mengambil ringan soal pelesenan ini. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan MPAJ menerusi talian 03-4285 7007. - Media Telus

+ - reset