Berita Berita
Malaysia tubuh Majlis Penasihat Aset Digital dan AI, sasar dominasi ekonomi digital serantau

PUTRAJAYA 9 Mei - Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah Majlis Penasihat Aset Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi digital global.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri hari ini. Beliau menyatakan bahawa majlis ini akan bertindak sebagai entiti penasihat strategik negara dan memainkan peranan penting dalam memastikan Malaysia bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi juga pencetus inovasi dalam bidang AI dan aset digital.
“Majlis ini akan dianggotai oleh gabungan pakar dari dalam dan luar negara, termasuk pemain industri, ahli akademik dan tokoh pemikir dasar,” ujar Tunku Nashrul. Tambah beliau, keanggotaan yang inklusif itu adalah untuk memastikan pendekatan yang digariskan selari dengan amalan terbaik antarabangsa, namun tetap menepati keperluan dan konteks Malaysia.
Beliau turut menekankan bahawa aset digital dan teknologi AI kini menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi global serta penentu daya saing sesebuah negara. Oleh itu, pembentukan majlis ini dilihat sebagai satu langkah berani kerajaan untuk meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam landskap ekonomi digital serantau dan antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri juga telah meninjau persiapan akhir bagi Sidang Kemuncak Ekonomi Digital dan AI yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Sidang bertemakan “Inklusiviti dan Kelestarian” itu dijangka menjadi platform utama untuk perbincangan dasar dan kerjasama serantau dalam bidang digital.
Sebagai persediaan menghadapi acara berprofil tinggi itu, Tunku Nashrul memaklumkan bahawa Perdana Menteri telah menekankan keperluan penyelarasan rapi antara kementerian dan agensi dari aspek logistik, keselamatan, protokol serta pengurusan trafik.
Malaysia, yang bakal mempengerusikan ASEAN pada tahun 2025, berhasrat memastikan sidang kemuncak tersebut membawa kepada hasil yang bersifat tindakan konkrit demi manfaat rakyat dan negara anggota ASEAN.
Bagi menyokong kelancaran acara tersebut, Kementerian Pendidikan akan mengumumkan pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di kawasan yang terlibat. Penjawat awam serta sektor swasta juga digalakkan untuk melaksanakan polisi kerja dari rumah bagi mengurangkan kesesakan dan memastikan kelancaran perjalanan logistik serta keselamatan sepanjang sidang berlangsung. - Media Telus
Berita berkaitan
May 9, 2025, 5:54 pm
Polis tahan pelatih gimnasium disyaki ugut wanita mahu simbah asid
May 9, 2025, 3:36 pm
Polis buru suspek sindiket curi kabel digelar 'Kecik'
May 9, 2025, 3:26 pm
Dua beranak nyaris lemas selepas kereta terjunam ke kolam kumbahan
May 9, 2025, 3:19 pm
Kadar pengangguran turun kepada 3.1% pada Mac 2025, pasaran buruh terus stabil
May 9, 2025, 3:15 pm
Lelaki maut kemalangan motosikal lepas hantar isteri ke tempat kerja
May 9, 2025, 1:24 pm
Pindah pekerja asing merentasi sektor hanya libatkan sektor formal - Steven Sim
May 9, 2025, 1:05 pm