TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warga emas cedera SUV terbabas rempuh restoran makanan segera di Setiawan

By
|
Kongsi
image

 

LUMUT 9 Mei – Suasana di sebuah restoran makanan segera di Jalan Haji Mohd Ali, Sitiawan gempar apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh masuk ke dalam premis tersebut malam tadi.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 9.09 malam itu melibatkan sebuah SUV jenis Volvo yang dikatakan melanggar dinding kaca restoran hingga menyebabkan seorang wanita warga emas mengalami kecederaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan bahawa mangsa, yang berusia lingkungan 70-an, tersepit di bawah kenderaan berkenaan selepas rempuhan berlaku.

Menurut beliau, kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh restoran yang ketika itu sedang beroperasi seperti biasa.

"Orang awam yang berada di tempat kejadian bertindak pantas mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kenderaan sebelum pasukan penyelamat tiba," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung dikerahkan ke lokasi untuk memberikan bantuan serta bekerjasama dengan pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia bagi tindakan susulan.

Menurutnya, operasi kawalan berjaya dilaksanakan sekitar jam 9.30 malam dan keseluruhan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.49 malam.

Sementara itu, beberapa rakaman video yang memaparkan detik cemas kejadian tersebut turut tular di media sosial. Restoran itu difahamkan terletak berhampiran persimpangan lampu isyarat antara Jalan Lumut dan Jalan Haji Mohd Ali.

+ - reset