TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Henti banding keputusan SPM, elak ‘membazirkan potensi’ pelajar SBP - Dr Anuar

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 9 Mei - Sehari selepas pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang dikatakan mencatat pencapaian terbaik sejak 2013, Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Dr. Anuar Ahmad menegaskan bahawa sistem pendidikan negara masih terperangkap dalam amalan ‘budaya songsang pendidikan’.

Dalam kenyataan yang dikongsikan beliau, Dr. Anuar mengkritik amalan membandingkan pencapaian keputusan SPM antara tahun yang menurutnya tidak selari dengan pendekatan pentaksiran berdasarkan norma atau Norm-Referenced Assessment yang digunakan dalam peperiksaan itu.

“Bagaimana kita boleh membandingkan pencapaian murid antara tahun sedangkan soalan SPM setiap tahun berbeza, markah lulus pun dirahsiakan, dan suasana pembelajaran pula berubah-ubah, termasuk ketika pandemik COVID-19?” katanya.

Beliau turut membangkitkan persoalan tentang keabsahan pengumuman prestasi terbaik sejak 2013, yang menurutnya hanya memberi gambaran palsu terhadap prestasi sebenar pendidikan negara.

Dr. Anuar juga mengulas senarai tidak rasmi sekolah terbaik SPM 2024 yang dikongsi umum, menyatakan bahawa hampir kesemua yang tersenarai adalah sekolah berasrama penuh (SBP) dan sekolah sains, manakala sekolah harian, luar bandar dan pedalaman tidak kelihatan dalam senarai itu.

“Tentunya kita ucap tahniah kepada guru, ibu bapa dan murid SBP atas kejayaan mereka. Namun, kita harus bertanya – apakah ini benar-benar matlamat pendidikan kita?” ujar beliau.

Tambah beliau, kerajaan memperuntukkan ratusan juta ringgit setiap tahun kepada sekolah berasrama penuh yang menempatkan murid ‘cream of the cream’, lengkap dengan kemudahan terbaik, guru berkualiti, dan penjagaan menyeluruh.

Namun, katanya, adalah satu bentuk pembaziran potensi sekiranya murid-murid cemerlang ini hanya disasarkan untuk memperoleh semua A dalam SPM, bukannya dibentuk untuk menjadi pemimpin, saintis atau inovator bertaraf global.

“Saya ibaratkan seperti menyuruh pasukan bola sepak kebangsaan bermain di peringkat daerah, menang besar, lalu kita puji mereka sebagai hebat. Itu bukan ukuran sebenar potensi mereka,” jelas beliau.

Dr. Anuar turut menyatakan bahawa dua pertiga daripada lebih 14,000 pelajar yang mendapat semua A dalam SPM 2024 adalah dari sekolah harian biasa yang tidak menerima peruntukan besar. Ini menurutnya membuktikan bahawa kecemerlangan bukan milik eksklusif SBP.

Beliau menggesa kepimpinan pendidikan negara supaya mengubah pendekatan terhadap pembangunan pelajar SBP dan menjadikan mereka pelajar bertaraf dunia, bukannya sekadar ‘jaguh kampung’.

“Anak-anak SBP perlu menjadi pesaing kepada pelajar hebat dari negara maju. Hentikan pembaziran potensi mereka,” tegas beliau. - Media Telus

+ - reset