TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Rakyat Malaysia terkandas di Pakistan harap dapat pulang Isnin depan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 Mei - Seorang rakyat Malaysia yang sedang dalam lawatan ke Pakistan berharap agar dapat kembali ke tanah air seperti dijadualkan pada Isnin ini, meskipun semua lapangan terbang di negara itu ditutup sementara waktu berikutan ketegangan yang berlaku di antara Pakistan dan India.

Juliza Jalil, yang dipercayai berada di Jaglot bersama suaminya, memaklumkan situasi terkini menerusi hantaran di media sosial. Menurutnya, mereka dalam keadaan selamat dan berharap keadaan kembali pulih bagi membolehkan mereka berlepas seperti dijangka.

“Setakat hari ini, semua lapangan terbang di Pakistan ditutup sehingga 10 Mei. Kami berharap ia akan dibuka semula selepas tarikh tersebut, atau lebih awal, supaya kami dapat pulang seperti dijadualkan pada 12 Mei,” katanya.

Juliza turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan serta doa orang ramai terhadap keselamatan mereka sepanjang berada di negara yang kini berdepan ketegangan diplomatik.

Katanya lagi, lawatan mereka setakat ini berjalan lancar dan kawasan yang dilalui seperti Skardu, Gilgit, Hunza dan Jaglot berada dalam keadaan aman, malah penduduk tempatan dilihat menjalani rutin harian seperti biasa.

Mereka dijangka meneruskan perjalanan ke Besham hari ini sebelum menuju ke Islamabad esok.

“Kami bertawakal sepenuhnya kepada Allah SWT agar sentiasa dilindungi. Insya-Allah,” ujar Juliza, yang turut berkongsi pengalaman mendalam tentang masyarakat Pakistan.

Menurutnya, rakyat Pakistan meskipun hidup dalam keadaan serba sederhana, mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi dan kasih yang mendalam terhadap agama Islam.

“Mereka begitu ramah, sentiasa tersenyum dan layanan mereka sungguh ikhlas serta menyentuh hati,” katanya lagi.

Juliza menutup kenyataan dengan doa agar umat Islam diberi kekuatan dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks dari pelbagai arah, dan berharap dapat pulang ke Malaysia dengan selamat tidak lama lagi. - Media Telus

+ - reset