TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

CAP desak pengharaman vape di semua negeri demi lindungi pelajar

By
|
Kongsi
image

GEORGETOWN 9 Mei - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa agar kerajaan negeri yang masih belum mengharamkan penjualan rokok elektronik (vape dan e-rokok) segera melaksanakan larangan tersebut bagi melindungi masa depan generasi muda.

Pegawai Pendidikan CAP dan aktivis antirokok, NV Subbarow berkata, kebimbangan semakin memuncak apabila golongan semuda lapan tahun sudah mula terdedah kepada tabiat merokok menggunakan vape. Menurut beliau, pelajar berusia antara lapan hingga 16 tahun kini secara terbuka menggunakan rokok elektronik, malah ada yang menghisapnya sejurus sebelum memasuki bilik darjah.

"Masalah sosial semakin meruncing. Ada pelajar yang tidak mahu bersarapan kerana menjadikan cecair vape sebagai pengganti makanan pagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

CAP menyatakan kekecewaan terhadap beberapa kerajaan negeri yang masih belum mengambil langkah drastik mengharamkan penjualan produk vape. Menurut Subbarow, walaupun pihak sekolah mengharamkan penggunaan vape di kawasan sekolah, pelajar tetap berjaya membawa masuk peranti tersebut secara tersembunyi.

Beliau turut menyeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar memperketatkan penguatkuasaan terhadap penggunaan vape dalam kalangan pelajar dan mahasiswa.

"Titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini agar vape diharamkan sepenuhnya harus diberi perhatian serius. Ini bukan isu setempat tetapi isu nasional," tegas beliau.

Isu ini mendapat perhatian ramai selepas tular video berdurasi lebih satu minit yang menunjukkan sekumpulan pelajar sekolah di Selangor menghisap vape secara terbuka di kawasan surau. Menurut Subbarow, insiden ini mencerminkan kegagalan kawalan serta pengaruh negatif yang semakin meluas dalam kalangan pelajar sekolah.

Pihak sekolah yang terlibat telah mengesahkan kejadian itu dan menyatakan bahawa tindakan disiplin akan diambil selaras dengan garis panduan sedia ada.

"Jika tindakan tegas tidak diambil segera, kita bakal berdepan krisis kesihatan dan sosial yang lebih serius pada masa depan," ujar Subbarow sambil menegaskan bahawa masa depan negara bergantung kepada ketegasan hari ini. - Media Telus

+ - reset