Berita Politik
Tun M pelawa ahli UMNO sertai parti Melayu baharu

PUTRAJAYA 4 Jun - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menyatakan hasrat untuk menjemput individu Melayu dalam Umno menyertai satu parti perpaduan Melayu baharu, bagi tujuan “mengembalikan kuasa kepada orang Melayu”.
Menurutnya, jemputan itu bukan ditujukan kepada Umno sebagai sebuah entiti politik, sebaliknya kepada ahli-ahli Melayu dalam parti tersebut.
“Saya tidak ajak Umno secara rasmi. Tetapi saya jemput orang Melayu dalam Umno. Jika mereka setuju dengan usaha ini, kita terima mereka sebagai orang Melayu, bukan sebagai ahli parti,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.
Sidang media itu turut dihadiri oleh Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Dr Mahathir menjelaskan bahawa gabungan yang dibentuk bukan merupakan parti politik rasmi buat masa ini, sebaliknya digerakkan sebagai satu bentuk penyatuan tidak rasmi dalam kalangan orang Melayu.
“Kami bersetuju untuk membentuk satu gerakan tidak rasmi, satu ‘payung besar’ supaya semua orang Melayu boleh bersatu di bawah satu naungan.
"Jika ada terlalu banyak kumpulan kecil yang memperjuangkan perkara sama, akhirnya semua akan berpecah dan gagal. Kita hanya boleh menang jika bersatu, dan hanya dengan kemenangan kita boleh dapat kuasa kembali,” jelasnya.
Menurutnya, gabungan ini melibatkan PAS dan Bersatu, dan dibentuk bagi memelihara masa depan orang Melayu dari segi politik serta ekonomi.
Dr Mahathir turut melahirkan kebimbangan terhadap apa yang disifatkannya sebagai kedudukan orang Melayu yang semakin terancam, termasuk dari aspek kebebasan bersuara berkaitan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).
“Ini menunjukkan kerajaan kita zalim – tak benarkan rakyat bercakap tentang isu sebenar,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa bahasa Melayu sepatutnya diberi keutamaan sebagai bahasa kebangsaan, namun kini peranannya semakin terhakis.
Tambahnya, perlindungan terhadap kedudukan Melayu yang diperuntukkan dalam perlembagaan juga semakin diabaikan oleh kerajaan.
“Saya yakin kenyataan saya hari ini pun tidak akan disiarkan di akhbar arus perdana. Mungkin hanya akan tersebar di media sosial.
"Kita mahu orang Melayu sedar tentang keadaan mereka. Ramai orang kampung tidak faham politik, jadi kita kena maklumkan kepada mereka bahawa kedudukan mereka sedang terancam,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyatakan bahawa gabungan ini akan membuat persiapan untuk menyertai pilihan raya sebagai langkah mengembalikan kuasa politik kepada orang Melayu.
“Hari ini, kuasa orang Melayu sudah hilang sebahagian besar. Kita mahu pulihkan semula kekuatan itu,” katanya.
Dr Mahathir sebelum ini pernah menyuarakan kekecewaan terhadap kegagalan parti-parti Melayu, termasuk Perikatan Nasional, untuk menyatukan orang Melayu secara menyeluruh.
Katanya, penyatuan tidak dapat dicapai dalam kerangka parti politik kerana masing-masing memiliki agenda tersendiri.
Ini bukan percubaan pertamanya. Pada Ogos 2022, beliau mengumumkan penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) yang melibatkan gabungan parti politik, NGO, ahli akademik dan profesional Melayu. Bagaimanapun, GTA gagal meraih sokongan pengundi dalam PRU15 dan semua calonnya, termasuk Mahathir dan anaknya Mukhriz, hilang wang deposit.
Dr Mahathir kemudian meninggalkan GTA pada Mei 2023, sementara parti Pejuang pula menarik diri dari GTA pada Januari tahun sama untuk fokus mengukuhkan parti.
Berita berkaitan
June 5, 2025, 3:30 pm
Kedudukan Tengku Zafrul tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet - Fahmi
June 3, 2025, 11:30 am
Anwar berhak pilih kabinet, tetapi cadangan dari mana-mana pihak tidak salah – Ahmad Maslan
June 3, 2025, 11:09 am
Pemuda UMNO Selangor kecam tindakan Tengku Zafrul keluar parti
June 2, 2025, 4:42 pm
Kenyataan pemimpin DAP goyah perpaduan – Nurulhidayah
June 2, 2025, 1:22 pm
Hormati keputusan Tengku Zafrul, jangan desak letak jawatan menteri – Rizwan Shah
June 1, 2025, 10:42 am
BN sambut ulang tahun ke-51, kekal utuh dalam arus perubahan
June 1, 2025, 9:22 am