Berita Politik
Tengku Zafrul sedia berkhidmat tanpa jawatan, serah kedudukan menteri kepada PM
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengesahkan pengundurannya daripada UMNO serta memohon untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekali gus menamatkan spekulasi mengenai hala tuju politik beliau.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Tengku Zafrul turut memaklumkan beliau baru sahaja selesai menunaikan ibadah haji bersama isterinya.
"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana saya telah selamat menyempurnakan ibadah Haji bersama isteri. Terima kasih kepada semua yang mendoakan perjalanan haji kami," katanya.
Mengulas mengenai keputusan mengejut itu, beliau menjelaskan bahawa penyertaannya ke dalam PKR tidak ada kaitan dengan sebarang rancangan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK), sama ada di peringkat negeri mahupun Parlimen.
"Saya ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang perbincangan tentang perkara ini pernah berlaku, dan ia bukan sebahagian daripada pertimbangan saya dalam membuat keputusan ini.
"Saya sememangnya tidak bersetuju dengan konsep pencetusan PRK tanpa keperluan yang mendesak, kerana PRK juga melibatkan masa dan duit rakyat," katanya.
Tengku Zafrul menegaskan bahawa beliau akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negara sehingga tamat tempoh perkhidmatan pada Disember 2025.
"Berkenaan kedudukan saya sebagai seorang Menteri, saya menyerahkan sepenuhnya isu ini kepada budi bicara YAB Perdana Menteri. Saya sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti.
"Saya meninggalkan dunia korporat kerana niat untuk berkhidmat, dan selagi khidmat saya diperlukan, saya bersedia untuk terus menyumbang tanpa perlu kepada jawatan," tambahnya.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menjelaskan bahawa keputusannya meninggalkan UMNO dibuat secara peribadi dan tanpa sebarang paksaan.
"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa keputusan untuk berundur daripada UMNO adalah pilihan peribadi saya sepenuhnya, bukan atas sebarang paksaan. Saya akui, ia bukanlah suatu keputusan yang mudah, namun saya telah menimbangkan semua pandangan dan pendapat yang diberikan dengan cukup mendalam," jelas beliau.
"Di dalam sebuah masyarakat yang mengamalkan sistem demokrasi, setiap individu mempunyai hak untuk membuat pilihan peribadi, dan saya amat menghargai semua pandangan serta penerimaan terhadap keputusan ini."
Tengku Zafrul turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, barisan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), serta akar umbi UMNO, khususnya dari Bahagian Kota Raja.
"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden UMNO, sahabat-sahabat MKT UMNO, seluruh akar umbi terutama UMNO Bahagian Kota Raja, dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh saya bersama UMNO."
Mengakhiri kenyataan beliau, Tengku Zafrul berharap agar semangat baharu selepas menunaikan haji akan terus membakar semangat perjuangannya dalam dunia politik.
"Doakan saya terus istiqamah dalam perjuangan berbekal semangat baharu sesudah pulang dari Tanah Suci Mekah."
Kenyataan ini sekaligus mengesahkan langkah politik seterusnya oleh Tengku Zafrul yang kini menyertai barisan Kerajaan Perpaduan secara rasmi melalui PKR.
Berita berkaitan
December 8, 2025, 5:28 pm
MCA kekal bersama BN
December 1, 2025, 10:55 am
Kekalahan bukan noktah: Abdul Rahman Dahlan gesa UMNO Sabah bangkit
November 30, 2025, 12:31 pm
Anwar ucap tahniah kepada Hajiji, janji terus perjuang hak Sabah
November 30, 2025, 10:57 am
PRN Sabah: Lamag hampir bertukar wakil rakyat, Bung menang tipis dengan calon bebas
November 30, 2025, 10:11 am
PRN Sabah: BN sokong pembentukan Kerajaan Negeri bersama GRS
November 30, 2025, 8:18 am
Hajiji angkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah
November 30, 2025, 12:14 am
BN sedia kerjasama dengan parti lain bentuk Kerajaan Negeri Sabah baharu - Ahmad Zahid
November 29, 2025, 10:42 pm
PH cukup kerusi bentuk kerajaan Sabah bersama GRS
November 29, 2025, 8:50 pm
PRN Sabah: DAP tewas di semua lapan kubu kuat
November 25, 2025, 12:54 pm
