TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

UMNO bincang kedudukan Hishammuddin dalam mesyuarat MKT esok - Ahmad Maslan

By
|
Kongsi
image

BACHOK 30 Jun – Isu penggantungan keahlian Datuk Seri Hishammuddin Hussein dijangka menjadi antara agenda yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang akan berlangsung Isnin ini.

Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata mesyuarat dijadualkan pada waktu malam dan perbincangan mengenai isu tersebut akan bergantung kepada sama ada ia dibangkitkan oleh Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Saya tidak kata menyokong atau tidak menyokong, sebaliknya isu ini perlu mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Keputusan asal penggantungan dibuat oleh MKT, maka apa-apa keputusan lanjut juga perlu melalui mesyuarat MKT. Jadi kita tunggu Isnin ini.

“Sudah tentu isu berkenaan akan dibincangkan sekiranya Pengerusi UMNO Johor membawa perkara itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bachok, hari ini.

Sebelum ini, UMNO Bahagian Sembrong mencadangkan agar penggantungan keahlian Hishammuddin ditarik semula, selaras dengan usaha memperkukuh parti di semua peringkat menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Untuk rekod, Hishammuddin digantung keahlian selama enam tahun atau dua penggal pemilihan MKT, bermula 27 Januari 2023, susulan beberapa tindakan yang didakwa bertentangan dengan kepentingan parti.

Sementara itu, penganalisis politik berpendapat UMNO wajar memberi pertimbangan untuk menerima semula pemimpin yang digantung atau dipecat, mengambil kira sumbangan dan kesetiaan mereka terhadap perjuangan parti.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr P Sivamurugan, sebelum ini berkata UMNO pernah mengambil semula pemimpinnya yang digantung atau dipecat, menjadikan perkara itu bukan sesuatu yang asing dalam landskap politik parti tersebut.

“Isu seperti ini perlu dilihat secara strategik, terutama menjelang pilihan raya, bagi memastikan kekuatan parti tidak terjejas,” katanya.

 

+ - reset