Berita Berita
Belasah isteri hingga patah sebab tak minta izin ingin ke pasar, kontraktor dipenjara sehari, denda RM6,000
MELAKA 11 Julai – Seorang kontraktor menerima hukuman penjara sehari dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan isterinya dalam kejadian awal Mei lalu.
Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, See Yong Fei, 36, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kesnya.
Mengikut pertuduhan, Yong Fei didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas isterinya yang berusia 39 tahun dengan memukul dan menumbuk tangan serta menendang belakang badan sehingga menyebabkan beberapa bahagian anggota badan mangsa patah.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Desa Bertam kira-kira jam 11.28 malam, 7 Mei 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku apabila tertuduh naik angin selepas mengetahui isterinya keluar ke pasar tanpa meminta izin.
Tertuduh yang tidak senang dengan sikap isterinya yang bergaul dengan orang lain kemudian bertindak memukul dan menendang mangsa hingga cedera parah di muka dan badan.
Wanita itu yang merupakan ibu kepada lima anak turut dikurung oleh tertuduh, namun berjaya menyelamatkan diri dengan menghubungi rakannya ketika suaminya keluar bekerja.
Dia kemudiannya dibawa ke balai polis untuk membuat laporan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon agar hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh memandangkan kecederaan serius yang dialami oleh mangsa.
Peguam tertuduh, Kelvinder Singh Sidhu, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan memandangkan ini merupakan kesalahan pertamanya, selain perlu menyara lima anak yang masih kecil serta menjaga bapa yang uzur.
“Anak guam saya hanya memperoleh pendapatan RM3,000 sebulan dan kini mangsa juga tidak tinggal bersamanya lagi selepas kejadian,” katanya.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sehari bermula tarikh sabitan serta membayar denda RM6,000 atau berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Dalam prosiding itu, Peguam Kent Tan Chow Teng hadir sebagai peguam pemerhati mewakili pihak mangsa.
Berita berkaitan
April 19, 2026, 1:23 pm
Tegur merokok punca pergaduhan di restoran nasi kandar Bandar Rimbayu
April 19, 2026, 1:19 pm
RM150,000 disalur perkasa kemudahan sukan di SK Stass, gilap bakat pelajar luar bandar
April 19, 2026, 1:14 pm
Tujuh lelaki mengaku tidak bersalah berlagak wanita di Kota Bharu
April 19, 2026, 12:06 pm
Dua pegawai bomba selamatkan wanita terperangkap dalam kebakaran gerai
April 19, 2026, 11:53 am
Anthony Loke arah siasatan tergempar isu BHS, MAHB bakal berdepan tindakan
April 19, 2026, 11:46 am
Amirudin sedia pertahankan Parlimen Gombak, tekad selesaikan isu tertangguh
April 19, 2026, 11:42 am
PGIRM gesa pengeluaran KWSP bersasar susulan lebih 24,000 hilang pekerjaan
April 19, 2026, 11:38 am
Ustaz Kazim dibenarkan keluar hospital, sedang berehat di rumah
April 19, 2026, 11:31 am
