TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua beradik didakwa culik, pukul lelaki sebelum 'sumbat' belakang lori di Bukit Puchong

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM, 28 Julai – Dua beradik yang sebelum ini tular dalam satu video kerana didakwa menculik seorang lelaki dengan menolaknya ke dalam sebuah lori, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan berkaitan insiden itu.

Tertuduh, V. Kirtik Ram, 19, dan Theshvinram, 18, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka bersama seorang lagi yang telah dituduh sebelum ini, didakwa melarikan Muhamad Azwar Danish Rosmadi, 21, dengan niat mengurung mangsa secara salah dan sulit.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-duanya turut didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa dengan memukulnya, satu kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang turut dibaca bersama Seksyen 34.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun, denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Persiaran Puchong Permai, Bukit Puchong, kira-kira jam 6.38 petang pada 22 Julai lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Akhilah Rosmi, mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dan memohon tarikh bagi serahan dokumen.

Peguam Noor Farazidah dan Mike Lim yang mewakili tertuduh dalam rayuan mitigasi memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira faktor bahawa kedua-duanya merupakan pesalah muda dan bertanggungjawab menyara keluarga termasuk tiga adik yang masih bersekolah serta menjaga nenek berusia 64 tahun.

“Kirtik bekerja sebagai pemandu lori manakala Theshvinram adalah penghantar barangan p-hailing. Kedua-duanya juga telah menyerah diri dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 setiap seorang dan menetapkan 8 September sebagai tarikh sebutan semula kes.

Untuk rekod, seorang lagi individu, P. Nandakumar, 32, telah didakwa pada 25 Julai lalu di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan tidak diberikan jaminan.

Kes Nandakumar juga akan disebut semula pada tarikh yang sama.

Sebelum ini, tular satu video berdurasi 15 saat yang menunjukkan seorang lelaki ditolak ke dalam bahagian belakang sebuah lori oleh beberapa individu, mencetuskan kebimbangan awam.

Turut kelihatan dalam rakaman tersebut sebuah motosikal terbaring di atas jalan raya, namun kaitannya dengan mangsa belum dapat dipastikan.

Polis kemudiannya menahan empat suspek dalam tempoh dua hari selepas kejadian bermula 23 Julai, dengan salah seorang suspek dikenal pasti mempunyai tatu berkaitan kumpulan kongsi gelap. 

+ - reset