TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mata wang Brunei diganti 'Dolar Brunei', bukan lagi ' Ringgit'

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 23 Sept – Brunei Darussalam bakal memperkenalkan siri baharu wang kertas dengan penggunaan istilah seragam ‘Dolar Brunei’, sekali gus menggantikan istilah ‘Ringgit’ yang digunakan sebelum ini.

Menurut kenyataan Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB), siri baharu itu akan mula diedarkan pada separuh pertama tahun hadapan, melibatkan lima denominasi iaitu BND1, BND5, BND10, BND100 dan BND500.

"Ia akan mengekalkan dengan bangga potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada wang kertas BND1, BND5, BND10 dan BND100, manakala wang kertas BND500 akan memaparkan potret Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien," kata kenyataan itu.

BDCB menjelaskan, wang kertas baharu ini dilengkapi ciri keselamatan lebih canggih selaras dengan kemajuan teknologi mata wang di peringkat global.

"Penambahbaikan ini akan melindungi keselamatan dan integriti mata wang Brunei Darussalam, serta mengukuhkan perlindungan terhadap pemalsuan.

"Inisiatif ini mencerminkan komitmen BDCB untuk memastikan mata wang kita selamat, terutamanya memandangkan wang tunai masih memainkan peranan penting dalam kehidupan harian, walaupun Brunei Darussalam sedang bergerak ke arah ekonomi digital," katanya.

Selain itu, siri baharu ini juga menyelaraskan unit mata wang Brunei dengan Perintah Mata Wang 2004, yang secara rasmi menetapkan ‘dolar’ sebagai nama rasmi mata wang negara berkenaan.

Dalam pada itu, BDCB menegaskan bahawa semua wang kertas lama yang masih beredar kekal sah digunakan dan akan terus diterima sebagai alat pembayaran bersama dengan siri baharu.

 

+ - reset