TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kugenthiran tak mengaku salah memandu melulu, rempuh dua penunggang motosikal di Jalan Sultan Ismail

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 3 April – Seorang lelaki berusia 25 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan memandu kereta secara melulu sehingga membahayakan dua penunggang motosikal, awal pagi semalam.

Tertuduh, T S Kugenthiran, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Syazwany Yasmin Tuan Roslan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu Honda City secara melulu sehingga melanggar dua motosikal yang ditunggang Muhammad Afiq Zayani Azliyuszaini, 24, dan Muhammad Hairy Abdul Rahman, 19, di Jalan Sultan Ismail menghala ke Jalan Tuanku Abdul Rahman sekitar jam 4.30 pagi.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda sehingga RM15,000 dan hilang kelayakan lesen memandu maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurbatrisyia Mohd Razib manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nadzli Rizal. Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan, namun peguam tertuduh memohon pengurangan jaminan memandangkan anak guamnya bekerja sambilan dan sedang menunggu kemasukan ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Mahkamah akhirnya membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, dan menetapkan 15 Jun depan sebagai tarikh serahan dokumen.

Siasatan awal polis mendapati dua penunggang motosikal sedang melalui persimpangan dengan lampu isyarat hijau sebelum dirempuh kereta tertuduh yang dipercayai gagal mematuhi lampu isyarat merah. Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan serius; seorang putus kaki kiri manakala seorang lagi patah tangan dan kaki kiri, dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

+ - reset