TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Rai' keputusan kes Najib, ini amaran Zahid Hamidi kepada pemimpin DAP

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 22 Dis - Reaksi segelintir pemimpin politik susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung Datuk Seri Najib Razak mencetuskan ketegangan dalam landskap politik negara, apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tampil memberi peringatan agar keadaan tidak terus dipanaskan.

Menerusi satu hantaran ringkas di Facebook pada Isnin, Ahmad Zahid menegaskan, “Jangan menyimbah minyak pada api yang sedang marak,” yang dipercayai merujuk kepada tindakan pemimpin DAP yang didakwa ‘meraikan’ keputusan mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut menegur sikap Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, dengan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar memandangkan keputusan mahkamah berkenaan melibatkan penderitaan serta kesan besar terhadap individu dan keluarga terlibat.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh pula secara terbuka menggesa agar parti tersebut menarik balik sokongan terhadap kerajaan sedia ada.

Menurutnya, UMNO lebih baik berada sebagai pembangkang yang bermaruah daripada terus dihina oleh rakan sekutu dalam kerajaan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk memaksa kerajaan melaksanakan Titah Adendum yang didakwa membolehkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa titah berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 dan tidak dibuat mengikut tatacara Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, perintah tambahan itu hanya menyentuh saranan agar permohonan Najib untuk pengampunan penuh dan pengurangan hukuman dipertimbangkan, dan bukannya keputusan muktamad membenarkan tahanan rumah.

Najib, 72, telah menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang lebih tiga tahun bermula 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sekiranya permohonannya dibenarkan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu boleh menjalani baki hukuman di kediamannya sendiri, namun dengan keputusan mahkamah berkenaan, beliau kekal menjalani hukuman penjara dan dijadual dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak masih mempunyai ruang untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

+ - reset