Berita Berita
Kerajaan berhemah tangani isu rumah ibadat, tak jejas keharmonian negara - Yuneswaran
KUALA LUMPUR 9 Feb - Kerajaan menegaskan komitmen untuk menangani isu rumah ibadat yang tidak mematuhi peraturan melalui pendekatan berperingkat dan berhemah, tanpa menjejaskan keharmonian serta perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran berkata, pihak pengurusan rumah ibadat akan diberikan tempoh munasabah untuk mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelakkan tindakan terburu-buru yang boleh mencetuskan ketegangan.
Katanya, prinsip asas yang digariskan kerajaan adalah jelas iaitu semua rumah ibadat, sama ada masjid, gereja atau kuil, tertakluk kepada undang-undang serta garis panduan yang sama, khususnya berkaitan pemilikan dan kelulusan tanah.
"Penyelesaian perlu dicari melalui dialog, peraturan dan saluran sah, bukan melalui pertikaian atau konflik.
"Saya komited untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaiknya, berpandukan prinsip keadilan, keharmonian antara kaum dan pengukuhan perpaduan nasional demi kepentingan negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara yang menekankan keperluan memperkukuh keharmonian serta perpaduan nasional.
Dalam majlis berkenaan, Anwar turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang sengaja dibina tanpa mengikut undang-undang.
Yuneswaran berkata, walaupun negara berdepan pelbagai dinamika politik serta perbezaan pandangan dalam masyarakat, majoriti rakyat Malaysia tetap memahami bahawa negara ini perlu dibangunkan di atas landasan yang betul, berteraskan persefahaman, saling menghormati dan perpaduan yang kukuh.
"Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan Malaysia terus kekal aman, bersatu dan dihormati, demi menjamin masa depan yang lebih makmur dan bermakna kepada generasi akan datang," katanya.
Berita berkaitan
February 11, 2026, 2:51 pm
Darjah satu, Tingkatan 1 belajar subjek sejarah ikut kurikulum baharu bermula tahun depan - KPM
February 11, 2026, 2:16 pm
Jamal Md Yunos lelong selipar dan tuala, lunas baki kos RM66,061.85 kepada Teresa Kok
February 11, 2026, 2:06 pm
Hamzah Zainudin mungkin terlepas pendengaran Lembaga Disiplin Bersatu
February 11, 2026, 12:01 pm
Had 300 liter Budi95 cukup, rakyat guna purata 100 liter sahaja sebulan - PM
February 11, 2026, 12:01 pm
Subsidi RON95 disasar, kerajaan jangka jimat sekurang-kurangnya RM2.5 bilion
February 11, 2026, 11:53 am
Mykiosk jadi 'gajah putih', Kor Ming patut letak jawatan - Ti Lian Ker
February 11, 2026, 11:51 am
Agong tegas jangan politikkan agama, keharmonian negara mesti dipelihara
February 11, 2026, 11:36 am
Rempuhan maut di lebuh raya, dua nyawa terkorban dalam nahas awal pagi
February 11, 2026, 10:29 am
Hampir sejuta kenderaan membanjiri Kelantan sempena Tahun Baharu Cina dan Ramadan
February 11, 2026, 10:11 am
