TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hamzah Zainudin mungkin terlepas pendengaran Lembaga Disiplin Bersatu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 11 Feb - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin dijangka terlepas pendengaran Lembaga Disiplin parti yang dijadual pada Khamis ini kerana berada di luar negara.

Menurut laporan Free Malaysia Today (FMT), Setiausaha Sulitnya, Ahmad Ikhwan Fadhli berkata, Ahli Parlimen Larut kini berada di Sydney, Australia bagi mengurus pendaftaran anak perempuannya di universiti.

“Hamzah, yang sudah berada di luar negara, menerima notis pada 7 Februari dan segera memaklumkan kepada Lembaga Disiplin bahawa beliau tidak dapat hadir. Beliau juga memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, pada 4 Februari bahawa beliau tidak dapat menghadiri sesi Parlimen dari 5 hingga 13 Februari kerana urusan peribadi,” katanya.

Hamzah, yang juga bekas Ketua Pembangkang, sebelum ini dipanggil untuk membantu siasatan Lembaga Disiplin Bersatu berhubung dakwaan penglibatannya dalam kekecohan ketika perhimpunan agung tahunan parti dan serangan terhadap Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berdasarkan notis saman kedua yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, bertarikh 6 Februari, sebanyak empat aduan disiplin difailkan terhadap Hamzah, masing-masing bertarikh 30 September 2025 dan 5 Februari 2026.

Difahamkan, Lembaga Disiplin Bersatu turut memanggil sekurang-kurangnya enam pemimpin parti lain untuk hadir pada Khamis bagi mendengar kes disiplin berkenaan.

+ - reset