Berita Berita
JKM tahan lelaki disyaki gunakan anak saudara 7 tahun mengemis guna kostum Spiderman di Melaka
MELAKA 9 Feb - Tindakan seorang lelaki membawa seorang kanak-kanak perempuan berkostum ‘Spiderman’ untuk mengemis di sebuah stesen minyak di Cheng mengundang perhatian pihak berkuasa selepas disyaki mengeksploitasi kanak-kanak terbabit.
Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka dalam satu serbuan kira-kira jam 6 petang semalam yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin.
Kalsom berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam yang bersimpati dengan nasib kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun itu yang terpaksa mengemis di bawah cuaca panas dan hanya berteduh menggunakan payung.
“Saya bergegas ke lokasi selepas menerima aduan mengenai perbuatan lelaki tersebut yang sanggup mengeksploitasi anak saudara sendiri untuk tujuan mengemis.
“Perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang melarang sebarang bentuk eksploitasi kanak-kanak, termasuk menggunakan mereka untuk mengemis, melakukan kerja berbahaya atau bagi tujuan komersial serta keuntungan tidak wajar,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Terdahulu, pemerhatian pemberita mendapati lelaki terbabit mula mengemis kira-kira jam 4 petang bersama kanak-kanak berkenaan yang mengenakan kostum ‘Spiderman’ yang sudah lusuh.
Sepanjang lebih dua jam berada di lokasi, beberapa kenderaan dilihat berhenti untuk menghulurkan sumbangan ke dalam sebuah kotak putih yang digantung di leher lelaki itu tertera tulisan ‘Sumbangan Ikhlas Hati’.
Selain itu, terdapat juga pemandu yang memanggil kanak-kanak terbabit untuk memberikan wang secara terus sebagai wang belanja.
Kanak-kanak tersebut turut dilihat membawa buku aktiviti mewarna dan melukis bagi mengisi masa sementara menunggu sumbangan daripada orang ramai.
Mengulas lanjut, Kalsom berkata hasil soal siasat mendapati lelaki berkenaan mendakwa berasal dari Pantai Timur.
“Buat masa ini, lelaki tersebut tidak ditahan, namun amaran keras telah diberikan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya perbuatan sama berulang.
“Sekiranya berdepan kekurangan makanan atau masalah kewangan, gunakan saluran bantuan yang betul dan jangan sesekali melibatkan kanak-kanak dalam situasi seperti ini,” tegasnya.
Berita berkaitan
April 4, 2026, 8:07 pm
Kejohanan Catur Masjid India tarik lebih 200 peserta, buka laluan ke pentas dunia
April 4, 2026, 1:39 pm
KPT teliti langkah bantu mahasiswa hadapi peningkatan kos sara hidup
April 4, 2026, 1:04 pm
Suspek cederakan anggota AADK di Bangsar dikenal pasti miliki rekod jenayah dan dadah
April 4, 2026, 12:50 pm
Wanita lumpuh maut dalam kebakaran rumah teres di Taman Mantin Baharu
April 4, 2026, 12:32 pm
JPN siasat individu guna MyKad orang lain beli bahan api bersubsidi
April 4, 2026, 12:24 pm
Tun Dr Ling Liong Sik meninggal dunia pada usia 83 tahun
April 3, 2026, 9:41 pm
Campak ke dinding, lelaki ditahan dera anak kucing di dobi layan diri di Kajang
April 3, 2026, 9:17 pm
Selisih ajal, wanita tersepit bawah tren LRT berjaya diselamatkan bomba di Abdullah Hukum
April 3, 2026, 6:15 pm
