TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bau busuk, langau keluar ikut bawah pintu bongkar kematian lelaki di PPR Krubong

By
|
Kongsi
image

 

MELAKA 24 Mac - Misteri bau kurang menyenangkan dari sebuah unit kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong di sini terungkai apabila seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam rumahnya semalam.

"Saya beri salam dan ketuk pintu, tapi tiada jawapan. Bau memang kurang menyenangkan dan ada langau keluar masuk dari celah bawah pintu rumahnya," kata Supian Abdul Majid, 52.

Menurutnya, dia ke rumah mangsa, Mohd Faizal Abu Bakar, 46, selepas dimaklumkan oleh seorang ahli kariah mengenai ‘kehilangan’ lelaki itu.

Katanya, sebelum itu rakan mangsa datang ke rumah berkenaan untuk beraya, namun tiada sahutan walaupun sudah beberapa kali memberi salam dan memanggil namanya.

"Mereka kemudian terhidu bau busuk dari dalam rumah selain melihat selipar berada di luar pintu," katanya.

Supian yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Krubong berkata, selepas mendapati mangsa tidak menyahut apabila dipanggil dan pintu diketuk, mereka segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.

"Pasukan bomba yang tiba kemudian membuka pintu yang berkunci sebelum menemui mayat arwah di ruang bilik utama. Mayatnya terbaring di atas lantai berhampiran katil," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.18 petang.

Katanya, pemeriksaan di lokasi mendapati tiada kesan pecah masuk atau pergelutan, selain keadaan rumah yang bersih dan kemas.

"Barangan peribadi si mati juga dalam keadaan baik. Tiada sebarang unsur perbuatan jenayah dikesan.

"Adik mangsa memaklumkan si mati adalah anak sulung dan kali terakhir mereka berjumpa pada Rabu lalu ketika berbuka puasa di rumah ibu di Taman Seri Krubong.

"Ketika itu mangsa yang menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan jantung kelihatan letih kerana tiada selera makan," katanya sambil memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih tiga hari lalu dan mempunyai sejarah penyakit kronik termasuk pernah dimasukkan ke wad Hospital Melaka serta diserang angin ahmar.

"Adik mangsa juga pernah beberapa kali menasihatinya untuk tinggal bersama ibunya atas sebab kesihatan.

"Namun, mangsa yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat enggan kerana mahu tinggal di rumahnya yang baru dibeli kira-kira setahun lalu," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

+ - reset