TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Malaysia kecam serangan berterusan ke atas UNIFIL, desak tindakan tegas Majlis Keselamatan PBB

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 5 April – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan berterusan ke atas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) yang telah menyebabkan kehilangan nyawa serta kecederaan serius dalam kalangan anggota pengaman antarabangsa.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden terbaharu yang berlaku pada 3 April lalu di El Addaiseh telah mengakibatkan kecederaan kepada tiga lagi anggota pengaman dari Indonesia.

Tegas Wisma Putra, serangan-serangan tersebut merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan menggesa agar pihak yang bertanggungjawab segera dibawa ke muka pengadilan bagi mempertanggungjawabkan tindakan mereka.

"Malaysia menyeru semua pihak untuk memastikan keselamatan anggota pengaman PBB dan menekankan bahawa misi pengaman PBB tidak boleh diganggu-gugat dalam apa jua keadaan sekalipun," menurut kenyataan itu.

Susulan situasi yang semakin meruncing di Selatan Lubnan, Malaysia turut mendesak Majlis Keselamatan PBB supaya mengambil tindakan drastik bagi memastikan perlindungan segera dan menyeluruh kepada semua pasukan pengaman yang bertugas di wilayah berkenaan.

Pendirian tegas Malaysia ini mencerminkan komitmen negara dalam menyokong misi keamanan sejagat serta menuntut penghormatan penuh terhadap kedaulatan undang-undang antarabangsa demi keselamatan petugas kemanusiaan di zon konflik.

+ - reset