Berita Berita
Mahkamah perintah Najib bayar AS$1.3 bilion kepada SRC International
KUALA LUMPUR 31 Mac – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak membayar ganti rugi berjumlah AS$1.3 bilion kepada SRC International Sdn Bhd selepas didapati terlibat dalam pecah amanah dan salah guna kuasa.
Keputusan itu dibuat Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin selepas membenarkan saman sivil yang difailkan syarikat berkenaan.
Mahkamah turut memerintahkan Najib membayar ganti rugi konspirasi, faedah sebanyak lima peratus setahun, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Melalui penghakiman yang dibacakan selama hampir empat jam itu, Ahmad Fairuz berkata mahkamah mendapati defendan sebagai penasihat emeritus syarikat memegang kuasa mutlak dalam setiap keputusan penting membabitkan SRC, bermula daripada penubuhan sehingga usaha menutup penyelewengan.
"Defendan memainkan peranan penting dalam penubuhan SRC sebagai anak syarikat 1MDB pada Januari 2011. Beliau mengarahkan pemindahan pemilikan SRC daripada 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) pada 2012, sekali gus mengeluarkannya daripada pengawasan lembaga 1MDB dan meletakkan SRC secara langsung di bawah kawalannya sebagai Perdana Menteri serta Menteri Kewangan.
"Beliau juga secara peribadi berhubung dengan Pengerusi Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2011 sebelum sebarang resolusi rasmi lembaga dibuat dan perbincangan bagi mendapatkan pinjaman pertama, membuktikan bahawa pinjaman itu adalah inisiatif beliau.
"Beliau menyebabkan pindaan perlembagaan syarikat diperkenalkan yang memerlukan kelulusan beliau sendiri sebagai pemegang saham.
"Beliau turut mengarahkan penyaluran dana kepada SRC BVI serta anak syarikat BVI, iaitu struktur yang tidak mempunyai tujuan pelaburan yang sah, sebaliknya direka untuk memudahkan penyelewengan, sekali gus menerima AS$120 juta daripada dana yang diselewengkan ke dalam akaun peribadinya," katanya dalam prosiding itu.
Prosiding berkenaan dihadiri peguam yang mewakili SRC selaku plaintif iaitu Lim Chee Wee, manakala defendan diwakili Muhammad Shafee Abdullah.
Dalam pada itu, Ahmad Fairuz berkata, tindakan Najib bukan kecuaian atau kesilapan pertimbangan, sebaliknya perbuatan penipuan yang disengajakan dan dirancang demi kepentingan diri.
Justeru, katanya, Najib bertanggungjawab sebagai pemegang amanah konstruktif ke atas aset SRC yang diselewengkan melalui penipuannya dan dikehendaki mengembalikan akaun dana terbabit dan keuntungan yang diperoleh.
Mahkamah turut mendapati defendan bertanggungjawab untuk membayar semula dana syarikat dan pampasan masing-masing berjumlah AS$1.18 bilion serta AS$120 juta.
Sementara itu, tuntutan Najib terhadap pihak ketiga membabitkan lima individu termasuk bekas pengarah SRC International ditolak mahkamah.
Mahkamah mendapati tuntutan itu pada asasnya satu percubaan menggunakan hujahan sama seperti dalam pembelaannya, dengan tujuan memindahkan liabiliti kepada Lembaga Pengarah SRC.
Pada 7 Mei 2021, SRC di bawah pengurusan baharunya memfailkan saman AS$1.18 bilion terhadap Najib serta enam bekas pengarah syarikat itu, dengan mendakwa beliau menyalah guna kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat.
Najib, 72, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Berita berkaitan
April 7, 2026, 2:11 pm
Tun Mahathir nafi jadi punca perpecahan, dakwa ahli UMNO enggan beralih arah ke Bersatu
April 7, 2026, 1:54 pm
Fahmi selesai beri keterangan kes saman fitnah terhadap Ustaz Dusuki
April 7, 2026, 1:45 pm
Isu Selat Hormuz: Hubungan akrab Malaysia, Iran kunci penyelesaian rundingan kapal terkandas
April 7, 2026, 12:50 pm
Remaja maut, rakan parah motosikal rempuh belakang lori rosak di Lebuhraya PLUS
April 7, 2026, 12:19 pm
Polis tahan 11 pemandu mabuk di Klang termasuk seorang wanita dalam Op Mabuk
April 7, 2026, 12:06 pm
Rumah ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran musnah terbakar
April 7, 2026, 11:36 am
Dua guru pelatih IPG lemas: KPM ambil tanggungjawab penuh, semak semula SOP aktiviti luar
April 7, 2026, 9:55 am
