TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Festival Gaya Raya 2025 ulang kejayaan 4 tahun berturut-turut, iktiraf ratusan usahawan tempatan - KSU KUSKOP

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Festival Gaya Raya 2025 yang sedang berlangsung selama 66 jam tanpa henti di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur sejak semalam sehingga Isnin ini terus mendapat sambutan hangat dari para pengunjung dan peminat seni budaya.

Program yang dianjurkan oleh My Event International dan Absolute Event ini merupakan acara tahunan yang sudah memasuki edisi keempat, dan kali ini mempersembahkan lebih banyak aktiviti menarik, pameran fesyen, dan persembahan budaya yang menghangatkan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Majlis pembukaan acara ini diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud yang turut berbangga atas pencapaian pihak penganjur atas kejayaan Festival Gaya Raya 2025. 

Dalam ucapannya, Khairul Dzaimee menyatakan rasa bangganya apabila dapat berada di tengah-tengah festival yang disifatkan sebagai salah satu program terbesar dan paling meriah dalam kalendar perayaan Malaysia. 

"Saya mengucapkan tahniah kepada My Event International dan Absolute Event yang telah berjaya menganjurkan program Absolute Gaya Raya untuk kali keempat ini," ujarnya. 

Beliau turut menambah bahawa ini adalah kali pertama beliau menghadiri program ini dan merasa terhormat untuk diberi peluang menyampaikan perasmian festival yang cukup istimewa ini.

Menurut Khairul Dzaimee, Festival Gaya Raya 2025 merupakan salah satu platform yang berpotensi besar untuk membangunkan industri kreatif serta memberi ruang kepada usahawan tempatan untuk mempamerkan produk mereka, terutamanya dalam bidang fesyen dan gaya hidup sempena musim perayaan.

"Daripada apa yang saya lihat, ini adalah program festival raya yang paling besar di Malaysia, dan ia menunjukkan potensi yang luar biasa untuk berkembang di masa hadapan," tambah beliau.

Selain itu, Khairul Dzaimee juga mencadangkan jalinan kerjasama antara penganjur acara dengan KUSKOP pada masa hadapan.

"Saya melihat banyak peluang untuk kita bekerjasama dalam mengembangkan lagi acara sebegini, dan InsyaAllah, kita akan cuba untuk menjalin kolaborasi yang lebih erat dalam memajukan usaha-usaha keusahawanan tempatan," katanya lagi.

Festival Gaya Raya 2025 kali ini menampilkan lebih daripada 700 gerai pameran yang merangkumi pelbagai aspek gaya hidup, termasuk pakaian raya, aksesori, makanan tradisional, dan banyak lagi. 

Para pengunjung boleh menyaksikan rekaan fesyen terkini dari pereka-pereka tempatan dan antarabangsa, serta menikmati persembahan muzik, tarian, dan aktiviti interaktif yang disediakan untuk seluruh keluarga.

Antara acara menarik yang berlangsung di festival ini termasuk perarakan busana Raya yang menampilkan selebriti dan pereka fesyen terkemuka, bengkel-bengkel kecantikan dan gaya hidup, serta pameran seni budaya yang merayakan keunikan tradisi Melayu.

Festival ini juga menjadi platform untuk memperkenalkan produk-produk buatan Malaysia yang mempromosikan seni dan warisan negara, di samping memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Dengan sambutan yang menggalakkan dan penglibatan daripada pelbagai pihak, Festival Gaya Raya 2025 di MITEC, Kuala Lumpur bukan sahaja menjadi satu acara utama dalam kalender perayaan negara, tetapi juga membuka jalan bagi potensi kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam memajukan industri kreatif dan usahawan tempatan, khususnya dalam mempersiapkan negara menghadapi cabaran ekonomi masa depan.

Pengunjung masih berpeluang untuk menghadiri acara ini yang akan berlangsung sehingga penghujung minggu ini. Festival Gaya Raya 2025 turut menyediakan pelbagai tawaran eksklusif, diskaun, serta cabutan bertuah bagi mereka yang melawat gerai-gerai pameran sepanjang acara ini. - Media Telus

+ - reset