TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Berhenti 'cop' kuil bangunan haram, semua pihak perlu jaga perpaduan negara' - Sivakumar

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 24 Mac – Isu pembinaan kuil Hindu yang terletak berhampiran Jalan Masjid India di Kuala Lumpur, kembali mencetuskan perdebatan hangat di kalangan masyarakat, terutama selepas tularnya laporan mengenai ancaman perobohan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.

Pembinaan sebuah masjid di kawasan tersebut telah menyebabkan spekulasi bahawa kuil berkenaan akan dirobohkan, walaupun pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberi jaminan bahawa tiada sebarang perobohan akan dilakukan.

Terdahulu, Datuk Bandar DBKL, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif menegaskan bahawa kuil tersebut boleh beroperasi seperti biasa sehingga isu ini selesai dan segala tindakan yang diambil akan mematuhi prinsip kebebasan beragama yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Namun, kenyataan-kenyataan dari beberapa pihak yang menyifatkan pembinaan kuil ini sebagai ‘haram’ dan ‘dibina di atas tanah haram’ mula mencetuskan polemik.

Ini berikutan banyak pihak mula menggunakan sentimen perkauman dan keagamaan untuk mengkritik pembinaan kuil tersebut sekali gus mencetuskan perasaan tidak puas hati di kalangan penganut agama Hindu.

Presiden Majlis Kuil – Kuil Hindu & Persatuan Agama Hindu Malaysia (MAHIMA), Datuk N Sivakumar berkata, pembinaan kuil bukanlah sesuatu yang baru di negara ini. 

Beliau mengingatkan bahawa kuil telah dibangunkan sejak zaman pemerintahan British dan diteruskan selepas kemerdekaan Tanah Melayu sebagai pusat keagamaan bagi komuniti Hindu. 

Sivakumar juga mengkritik pihak yang menganggap pembinaan kuil ini sebagai haram, menegaskan bahawa bangunan tersebut telah beroperasi selama lebih puluhan tahun dan telah menjadi pusat keagamaan yang sah.

"Bagaimana sebuah bangunan yang telah beroperasi lebih puluhan tahun boleh dianggap haram? DBKL dan Jakel telah memberi jaminan bahawa proses pemindahan kuil akan dijalankan dengan cara yang telus dan adil," kata Sivakumar.

Sivakumar turut mengingatkan supaya pihak-pihak yang memberi komen mengenai isu ini lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan dan tidak memperburukkan keadaan dengan publisiti murahan yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

Beliau juga menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memberi jaminan bahawa tidak akan ada perobohan rumah ibadat di bawah Kerajaan MADANI.

Dalam pada itu, DBKL menjelaskan bahawa proses pemindahan kuil tersebut akan dijalankan dengan adil dan melibatkan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya. 

Sivakumar mengingatkan bahawa isu ini bukan hanya soal pemindahan kuil, tetapi juga mengenai perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Beliau menyeru agar semua pihak mengutamakan keharmonian negara dan tidak memanipulasi isu ini untuk kepentingan politik.

"Ini adalah masa untuk kita bersama-sama membina negara yang lebih inklusif dan harmoni. Kita semua adalah anak Malaysia, dan itu adalah ikatan yang perlu kita pertahankan," ujar Sivakumar.

+ - reset