TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Warden penjara maut digilis lori simen rosak brek di Melaka

By
|
Kongsi
image

 

 

MELAKA, 16 Mei – Seorang warden penjara maut dalam kejadian tragis apabila motosikal yang ditungganginya digilis sebuah lori simen di lampu isyarat Lebuh SPA, berhampiran persimpangan pusat pelupusan sampah Sungai Udang, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang Khamis, mangsa dikenali sebagai Sarjan Amal Nurlidar Ghazali, 42, yang bertugas di Jabatan Penjara Malaysia Sungai Udang, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat tersepit di bawah lori dan mengalami kecederaan parah di muka, kaki serta beberapa anggota badan lain.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan kegagalan sistem brek lori simen yang dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun.

“Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Ego Solariz sedang berhenti di lampu isyarat. Sebuah lori simen datang dari arah sama dan dipercayai mengalami masalah brek.

Lori itu cuba mengelak ke bahu jalan namun tetap merempuh motosikal mangsa lalu menggilisnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bawah lori sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Christopher berkata lori simen terbabit telah ditahan untuk pemeriksaan teknikal oleh PUSPAKOM, manakala saringan air kencing terhadap pemandu menunjukkan negatif dadah.

“Suspek akan direman hari ini di Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

 

+ - reset