TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemberhentian 5,000 pekerja Petronas perlu ditangani dengan adil, berperikemanusiaan

By
|
Kongsi
image

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 11 Jun – Rancangan pemberhentian seramai 5,000 pekerja kontrak oleh syarikat minyak dan gas negara, Petronas, atau kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerjanya, disifatkan sebagai satu perkembangan mengejutkan dan membimbangkan.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, ramai daripada pekerja yang terlibat telah lama berkhidmat dengan Petronas dan mempunyai keluarga yang perlu disara. Maka, pemberhentian secara beramai-ramai tanpa sebarang bentuk latihan untuk menjana semula pendapatan adalah suatu tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

“Adalah wajar pemberhentian mereka dilakukan secara berperingkat, hanya selepas mereka diberi latihan sewajarnya serta dibantu agar kehidupan mereka terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara bentuk sokongan yang dicadangkan termasuk latihan keusahawanan dan bantuan modal supaya mereka dapat menceburi bidang perniagaan yang sesuai dengan kemahiran dan kelayakan masing-masing. Dana yang selama ini digunakan untuk membantu usahawan Bumiputera turut disarankan agar digunakan bagi membantu kumpulan ini bangkit semula.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui Petronas sedang menghadapi tekanan besar akibat cabaran global seperti kejatuhan harga minyak dunia dan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui. Petronas, katanya, memerlukan pelan jangka panjang untuk kekal lestari dan kompetitif dalam landskap tenaga yang sedang berubah.

Isu pertikaian yang belum selesai antara Petronas dan Petros berkaitan hak pengedaran gas di Sarawak turut dikatakan menyumbang kepada kelewatan kerja-kerja eksplorasi dan menyusutkan pendapatan syarikat. Ini bukan sahaja memberi kesan kepada Petronas, tetapi juga kepada seluruh ekosistem industri minyak dan gas negara.

Laporan The Edge pada 2 Jun 2025 mendedahkan bahawa beberapa syarikat dalam sektor minyak dan gas mencatatkan kerugian atau penyusutan pendapatan pada suku pertama tahun ini. Antara punca utama ialah pengurangan penggunaan vesel dan kelewatan projek akibat konflik Petronas–Petros.

“Jika keadaan ini berlarutan, bukan sahaja pekerja Petronas akan terjejas, malah 70,000 lagi pekerja dalam industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas di Malaysia juga akan turut menerima kesannya,” ujar Muhyiddin.

Sebagai syarikat milik negara yang menyumbang dividen besar kepada kerajaan dan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara, beliau menegaskan bahawa kepentingan Petronas dan para pekerjanya mesti sentiasa dilindungi oleh kerajaan.

Pada masa yang sama, kerajaan turut diingatkan agar lebih berhemah dalam menggunakan dana Petronas memandangkan peningkatan hutang negara dan kelembapan ekonomi yang boleh menjejaskan aliran tunai syarikat.

“Oleh itu, kerajaan perlu segera membentangkan pelan kelestarian Petronas serta hala tuju industri minyak dan gas negara demi menjamin masa depan syarikat, pekerja, dan ekonomi negara,” katanya. – Media Telus.

+ - reset