Berita Berita
Polis kesan pemilik Proton Saga dipandu kanak-kanak 11 tahun hingga terbabas
SHAH ALAM – Polis berjaya mengesan pemilik sebuah kereta Proton Saga yang tular selepas dipercayai dipandu oleh seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun sebelum kenderaan tersebut terbabas di Jalan Telok Gong, Klang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 10 pagi itu melibatkan tiga kanak-kanak, dua daripadanya adik-beradik pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), manakala seorang lagi merupakan sepupu mereka yang merupakan warga tempatan.
“Siasatan awal mendapati kereta itu dipandu oleh anak kepada seorang wanita pemegang kad UNHCR yang ketika itu sedang dalam perjalanan dari Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Utara Klang menuju ke rumah kakaknya di Telok Gong. Si ibu telah meninggalkan anak-anak seketika untuk ke tandas.
“Ketika itu, anak lelakinya berusia 11 tahun mengambil kunci kereta, mengajak adiknya berusia tujuh tahun dan sepupu mereka untuk pergi ke kedai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramli berkata, kanak-kanak itu memandu sejauh dua kilometer sebelum gagal mengawal kenderaan dan terbabas ke dalam longkang di tepi jalan berdekatan kawasan kedai.
Tiada kecederaan dilaporkan dan insiden hanya menyebabkan kerosakan kecil di bahagian hadapan kereta.
Ibu bapa kanak-kanak terbabit telah dipanggil untuk memberikan keterangan. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak bertimbang rasa, Seksyen 39(1) akta sama kerana memandu tanpa lesen, serta di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengenal pasti unsur pengabaian.
Ramli turut menasihatkan ibu bapa agar sentiasa peka terhadap pergerakan anak-anak dan tidak membiarkan mereka mengendalikan sebarang kenderaan yang boleh membahayakan keselamatan diri dan orang ramai.
Terdahulu, tular di media sosial video sebuah Proton Saga berada dalam longkang, dipercayai selepas dipandu oleh kanak-kanak berkenaan. – Media Telus
Berita berkaitan
April 4, 2026, 1:39 pm
KPT teliti langkah bantu mahasiswa hadapi peningkatan kos sara hidup
April 4, 2026, 1:04 pm
Suspek cederakan anggota AADK di Bangsar dikenal pasti miliki rekod jenayah dan dadah
April 4, 2026, 12:50 pm
Wanita lumpuh maut dalam kebakaran rumah teres di Taman Mantin Baharu
April 4, 2026, 12:32 pm
JPN siasat individu guna MyKad orang lain beli bahan api bersubsidi
April 4, 2026, 12:24 pm
Tun Dr Ling Liong Sik meninggal dunia pada usia 83 tahun
April 3, 2026, 9:41 pm
Campak ke dinding, lelaki ditahan dera anak kucing di dobi layan diri di Kajang
April 3, 2026, 9:17 pm
Selisih ajal, wanita tersepit bawah tren LRT berjaya diselamatkan bomba di Abdullah Hukum
April 3, 2026, 6:15 pm
