Berita Jenayah
Dua beradik dikejar 7 kereta polis, tak sedar lari sampai depan IPK Selangor
SHAH ALAM 5 Ogos – Polis menahan dua lelaki selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka dikejar sejauh kira-kira 90 kilometer oleh pasukan peronda MPV di sekitar Shah Alam, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian bermula jam 1.30 pagi ketika anggota MPV membuat rondaan di Pusat Komersial Seksyen 7 dan ternampak sebuah Proton Wira biru dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota bertugas membunyikan siren dan menggunakan pembesar suara mengarahkan pemandu berhenti untuk pemeriksaan, namun suspek memecut laju bagi melarikan diri.
“Tindakan itu mencetuskan kejadian kejar-mengejar melibatkan enam kenderaan MPV lain bagi membantu menahan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, selepas hampir sejam, polis berjaya memintas kereta berkenaan di Seksyen 9, berhadapan pintu pagar Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Pemeriksaan menemukan sebotol cecair hijau dipercayai air ketum di bawah tempat duduk penumpang hadapan. Siasatan mendapati suspek berusia 24 tahun memiliki lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah, manakala seorang lagi suspek berusia 18 tahun tidak mempunyai rekod.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Polis akan memohon perintah reman di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.
Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Insp Nawinthan A/L Selvaraja di talian 016-2052314. – Media Telus
Berita berkaitan
April 16, 2026, 8:24 pm
Polis buru pemandu bas ekspres tular memandu sebelah tangan, didakwa mabuk
April 16, 2026, 10:27 am
Polis gempur stesen minyak sempadan menerusi Ops Tiris 4.0 kekang penyelewengan
April 15, 2026, 9:16 pm
Polis siasat kematian pemuda OKU sebagai kes bunuh susulan keputusan bedah siasat
April 14, 2026, 10:12 am
Polis cari pemandu bas ekspres riba wanita ketika memandu
April 10, 2026, 11:52 am
Pemandu Myvi mabuk rempuh motosikal bawa kanak-kanak di Johor Bahru
April 10, 2026, 11:33 am
Lelaki cedera ditetak abang kandung guna parang di Johol
April 10, 2026, 9:26 am
Dua samun bersenjata dalam 24 jam di Nilai, polis buru lima lelaki
April 9, 2026, 2:03 pm
