TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mydin terus komited bantu rakyat, sasar 200,000 Kotak Sara Rahmah untuk golongan memerlukan

By
|
Kongsi
image

 

SUBANG JAYA 25 Ogos – Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) menetapkan sasaran mengumpul 200,000 Kotak Sara Rahmah menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyediakan barangan asas untuk disumbangkan kepada golongan B40, ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin berkata, program berkonsepkan ‘beli dan derma’ itu membolehkan orang ramai membeli kotak berisi keperluan asas sebelum diagihkan kepada penerima bantuan.

“Kotak ini mengandungi barangan seperti beras, gula, tepung, minyak masak, bihun serta makanan dalam tin, selain mengetengahkan produk usahawan kecil dan sederhana tempatan.

"Program ini dibuka sehingga 31 Disember 2025, namun kita jangka sambutan lebih tinggi pada bulan-bulan awal,” katanya ketika melancarkan Kotak Sara Rahmah di Mydin USJ, semalam.

Beliau menegaskan, sasaran 200,000 kotak hanyalah penanda aras, dan jumlah itu akan ditambah jika sambutan melebihi jangkaan.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan agihan lebih teratur.

Ameer turut menggalakkan syarikat korporat menyertai inisiatif ini.

"Kotak yang dibeli akan disalurkan terus ke lokasi tumpuan termasuk masjid, supaya bantuan lebih mudah sampai kepada rakyat,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, inisiatif ini melengkapi program Rahmah lain seperti Menu Rahmah dan Bakul Rahmah.

“Penyumbang boleh menyerahkan sendiri kotak atau mewakilkan Mydin untuk mengedarkannya. Malah, kemudahan van dan lori mudah alih turut disediakan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa lebih 22 juta rakyat Malaysia layak menerima sumbangan tunai RM100 melalui inisiatif kerajaan, justeru Kotak Sara Rahmah berpotensi mendapat sambutan luas.

 

 

 

+ - reset